Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sindiket penipuan pembelian pakej telefon bimbit membabitkan kerugian RM8.6 juta tumpas susulan penahanan 14 individu tempatan di sekitar Iskandar Puteri dalam serbuan pada 1 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siri serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu antara jam 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam.

Katanya, modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan nama pemilik akaun keldai bagi mendaftarkan talian syarikat telekomunikasi (telco) dari telco lain ke telco yang menawarkan pakej talian beserta telefon bimbit.

"Sindiket yang beroperasi sejak awal Januari lalu juga menggunakan dokumen palsu seperti penyata gaji dan surat pengesahan majikan yang mana dikeluarkan oleh sindiket yang sama dalam mengaburi pihak telco yang disasarkan.

"Selepas pendaftaran dan identiti pemilik akaun keldai disahkan pihak telco, sindiket akan membuat pembayaran dengan menggunakan kad kredit milik individu lain, seterusnya telefon dan pakej yang didaftarkan diserahkan kepada ahli sindiket. Bagi setiap transaksi berjaya dilakukan, pemilik akaun keldai akan terima komisyen sebanyak RM350, manakala ejen yang berjaya mendapatkan khidmat pemilik akaun keldai itu akan menerima bayaran RM150.

AYOB Khan menunjukkan modus operandi sindiket penipuan pembelian pakej telefon bimbit pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan menunjukkan modus operandi sindiket penipuan pembelian pakej telefon bimbit pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Telco mula menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan selepas usaha pembayaran melalui kad kredit yang didaftarkan sewaktu pembelian pakej ditolak oleh bank," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, ini adalah pertama kali sindiket penipuan membabitkan pembelian pakej telefon bimbit, hasil siasatan dan semakan dengan telco yang terbabit mengesahkan sudah mengalami kerugian sebanyak RM8.6 juta, selain polis masih mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

Katanya, kesemua suspek berusia 19 hingga 38 tahun sudah direman dan polis sedang mengesan dalang sindiket dikenali Tan Boon Han, 38, dengan alamat terakhirnya di Jalan Tropika Diawan 2, Kampar Perak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat bersabit kes penipuan boleh disalurkan kepada Pegawai Risikan atau Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Johor, Asisten Superintendan Timmy Anak Aheng di talian 019-777 3728.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:14 PM