ROSLEE menunjukkan bagaimana sindiket memperdayakan keldai akaun. FOTO Ghazali Kori
ROSLEE menunjukkan bagaimana sindiket memperdayakan keldai akaun. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


TERPEDAYA dengan bayaran antara RM200 hingga RM300 ditawarkan sindiket 'keldai akaun' menyebabkan 59 pemilik akaun sanggup menjual kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin.

Selain itu, semua mangsa yang berusia antara 20 hingga 50 tahun turut terpedaya dengan janji manis lain kononnya bakal mendapat bayaran lumayan sekiranya berbuat demikian.

Bagaimanapun, sikap tamak mereka membawa padah selepas ditahan dalam serbuan berasingan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sekali gus membongkar kegiatan sindiket berkenaan membabitkan kerugian hampir RM2 juta dalam tempoh Januari hingga Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sindiket 'keldai akaun' dikesan merekrut orang tengah atau 'runner' untuk memperdaya mangsa supaya menjual kad ATM dan nombor pin sebelum dijual semula kepada sindiket dengan harga antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap satu kad.

Katanya, akaun itu akan digunakan sindiket untuk melakukan transaksi jenayah siber dengan kerugian dianggarkan mencecah hampir RM2 juta sepanjang tahun ini.

"Operasi khas dikenali sebagai Ops Mule dilancarkan pada April lalu berikutan peningkatan mendadak kes penipuan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

"Dulu kita pernah dengar rakyat kita jadi 'keldai dadah' tetapi sekarang ini ramai masyarakat kita jadi 'keldai akaun'.

"Di Terengganu saja, terdapat hanya 96 kes membabitkan kes siasatan jenayah siber multimedia seperti Macau Scam, Love Scam, e-belian (jualan dalam talian) dan sebagainya pada 2019 namun tahun ini saja iaitu sehingga Mei lalu, kita ada 279 kes," katanya pada sidang media berkaitan pencapaian Ops Mule Siri 2/2020 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua JSJK Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud.

Mengulas lanjut, Roslee berkata, 56 daripada 59 pemilik akaun itu sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan barang curi dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Katanya, majoriti daripada mereka yang ditahan mendakwa teraniaya dan tidak mengetahui akaun bank miliknya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

"Namun, alasan diberikan tidak boleh diterima kerana kita yakin pemilik akaun tahu sebelum bersetuju menjual kad akaun bank kepada pihak yang berkenaan," katanya.

Roslee turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat bank dan peribadi lain selain jangan mudah menerima tawaran membantu melakukan pemindahan wang ke akaun tertentu.

"Jika kita mendapati ada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segera buat semakan dengan pihak bank bagi menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keldai akaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:23 PM