HARIS bersama Pengarah Urusan PFSB Haslinda Khalid menunjukkan produk baja yang dipamer dan dijual sempena FLORIA 2015 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.
HARIS bersama Pengarah Urusan PFSB Haslinda Khalid menunjukkan produk baja yang dipamer dan dijual sempena FLORIA 2015 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.
Oleh Mohamad Hussin

Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) anak syarikat Perbada­nan Putrajaya (PPj) akan memperkenal dan menjual empat jenis baja sempena Floria Diraja Putrajaya (FLORIA) 2015 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya, sehingga 7 Jun ini.

Pengurus Kanan PFSB Haris Embong berkata, empat baja itu ialah baja cecair (Floria Grow Advance), baja lepas terkawal (Floria CRF), baja emas (Floria Emas) serta baja kompos (Floria Compost Biochar dan Floria Compost).

Beliau berkata, baja cecair dengan pelekat ‘nonionic’ berkesan untuk pemakanan tanaman yang lengkap dan seimbang.

“Ia meningkatkan daya tumbesaran dan kualiti tanaman, meningkatkan proses pembungaan dan saiz buah, meningatkan kadar fotosintesis dedaun dan merangsang penyerapan nutrien selain daya tahan penyakit.

“Baja ini juga mengandungi bio perangsang dan unsur-unsur makro dan mikro nutrien (berkelat) yang lengkap dan seimbang serta sifat organik mesra alam.

“Baja cecair ini hendaklah disembur pada keseluruhan dedaun pada awal pagi dan petang tapi elak semburan ketika matahari terik,” katanya.

Katanya, baja lepas terkawal sesuai untuk bunga dan buah-buahan kerana meningkatkan kesuburan dan hasil tanaman.

“Ia juga dapat meningkatkan aktiviti enzim tanaman, kadar fotosintesis, kesuburan debunga dan mengurangkan kehilangan nutrien akibat hujan lebat.

“Kegunaan baja emas menggalakkan percambahan benih, pertumbuhan, pendebungaan, pembentukan bunga dan peningkatan buah,” katanya.

Menurutnya, baja ini juga mempunyai kandungan organik, nutrien dan mikrob berfaedah yang berupaya meningkatkan serta memperbaiki sistem pengudaraan dan saliran air dalam tanah.

“Ia juga meningkatkan perkembangan mikroflora dan fauna berfaedah, membantu persediaan nutrien dalam tanah untuk diserap oleh tanaman.

“Ia se­suai untuk ternakan dan mengurangkan bau busuk kandang, lalat, hama dan serangga berbahaya,” katanya.

Festival Bunga dan Taman itu dianjurkan PPj bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Tourism Malaysia.

“Tarikan lain di FLORIA ialah Taman Lily, Taman Diraja, Taman Pereka Bentuk, Taman Inovasi, Taman Kucing, Taman Kanak-Kanak dan Floral Pavilion serta bazar tanaman.

“Kami turut menyediakan pasar hortikultur yang akan menjual segala keperluan kebun dan tumbuh-tumbuhan seperti pokok hiasan, ulam-ulaman, buah-buahan, pokok bunga berpasu dan perkhidmatan landskap,” katanya.

Katanya, FLORIA dibuka sejak 30 Mei lalu hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan jam 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 10:10 AM