PEKERJA memasukkan baja kompos ke dalam polybag sebelum benih bunga dimasukkan.
PEKERJA memasukkan baja kompos ke dalam polybag sebelum benih bunga dimasukkan.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Mampu membantu membaiki struktur tanah selain memberi sistem pengudaraan yang bagus kepada tanaman adalah dua pencapaian penting yang perlu ada pada agen penyubur tanaman atau baja.

Mengambil kira keperluan itu, anak syarikat milik penuh Perbadanan Putrajaya (PPj) Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) mengorak langkah menghasilkan baja kompos yang diadun menggunakan dua komponen penting iaitu zeolite, mineral semula jadi yang terhasil daripada endapan letusan gunung berapi dan biochar, sisa kisaran ranting, daun dan pokok.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haslinda Khalid berkata, zeolite dan biochar adalah unsur penting bagi memberi nutrien yang tinggi kalium khusus untuk membantu pokok berbunga dan berbuah.

Beliau berkata, adunan kedua-duanya juga mampu membantu proses tumbesaran tanaman dan pokok.

“Buat masa ini, kami menggunakan baja kompos berkenaan untuk keperluan tanaman semusim dan bunga-bungaan di Anjung Floria dan keperluan tanaman lain di sekitar Putrajaya,” katanya.

Katanya, pihaknya merancang untuk memasarkan produk berkenaan bermula pertengahan April depan dengan menyasarkan nurseri berdekatan Putrajaya termasuk Kajang, Bangi, Puchong dan sekitar Selangor.

Dalam pada itu, Haslinda berkata, baja berkenaan juga akan dipersembahkan buat kali pertama kepada pengunjung pada penganjuran Festival Floria Diraja Putrajaya 2016 yang akan berlangsung pada 27 Mei hingga 4 Jun ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati baja kompos berkenaan mempunyai banyak kelebihan kerana ia mampu memanjangkan jangka hayat bunga.

“Sebelum ini, jangka hayat pokok bunga hanya mampu bertahan tiga minggu saja. Namun, selepas menggunakan baja berkenaan, jangka hayat pokok bunga boleh dipanjangkan kepada lima minggu, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi dan penggantian pokok bunga,” katanya.

Selain Floria Compost Biaochar, PFSB turut menghasilkan tiga jenis baja lain termasuk baja cecair (Floria Grow Advance), baja lepas terkawal (Floria CRF) dan baja emas (Floria Emas).

Baja cecair yang dihasilkan dilengkapi dengan pelekat ‘onionic’ berkesan untuk pemakanan tanaman yang lengkap dan seimbang, selain meningkatkan daya tumbesaran dan kualiti tanaman, meningkatkan proses pembungaan dan saiz buah, meningkatkan kadar fotosintesis dedaun dan merangsang penyerapan nutrien selain daya tahan penyakit.

Dalam pada itu, ia juga mempunyai kandungan organik, nutrien dan mikrob berfaedah yang berupaya meningkatkan serta memperbaiki sistem pengudaraan dan saliran air dalam tanah, selain sesuai untuk ternakan dan mengurangkan bau busuk kandang, lalat, hama dan serangga berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 8:57 AM