SUASANA malam juga menarik.
SUASANA malam juga menarik.
INSPIRASI taman unik dijangka menarik perhatian ramai.
INSPIRASI taman unik dijangka menarik perhatian ramai.
ANTARA idea taman bagaikan festival bunga dan taman antarabangsa.
ANTARA idea taman bagaikan festival bunga dan taman antarabangsa.
Hartini Mohd Nawi


Kemeriahan FLORIA Diraja Putrajaya bakal kembali membuka tirai pada musim cuti sekolah penghujung bulan ini.

Segala persiapan dan perancangan rapi disusun dalam usaha melancarkan festival bunga dan taman yang membawa dimensi baru dengan tarikan tersendiri itu.

Festival kali kesembilan itu anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Tourism Malaysia diuruskan anak syarikat milik penuh PPj, Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PFSB Haslinda Khalid, penganjuran FLORIA Diraja Putrajaya mendapat sambutan menggalakkan dari setahun ke setahun.

“Ia sekali gus membantu menonjolkan imej Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman, Bandar Bunga-bungaan dan Perintis Bandar Hijau.

“Dalam usaha penjenamaannya, penganjur pesta bunga antarabangsa termasuk Melbourne International Flower & Garden Show dan Gayong International Flower Festival, Korea bakal dijemput menyerikan FLORIA Diraja Putrajaya,” katanya yang menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak.

Haslinda berkata, festival itu juga berupaya mencetuskan pelbagai peluang dan potensi dalam bidang berkaitan ekonomi, perniagaan dan keusahawanan.

Malah, ia turut menjadi platform mendidik masyarakat supaya lebih menghargai alam sekitar, selain memastikan landskap disediakan pihak berkuasa tempatan dijaga dan dihargai sepenuhnya.

“Pada masa sama FLORIA Diraja Putrajaya kali ini meningkatkan tahap profesionalisme dan kredibilitinya dengan menganjurkan Royal FLORIA International Dialogue (RFID).

“Bertindak sebagai pemangkin bagi industri yang merangkumi peserta profesional dalam bidang landskap, bunga-bungaan, hortikultur dan florikultur serta bidang lain yang berkaitan.

“Justeru, RFID boleh memainkan peranan sebagai platform bagi industri bunga-bungaan negara dengan menjadi pusat jaringan kerjasama dan rangkaian, import eksport, kajian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri berkaitan,” katanya.

Sementara itu, penyertaan peserta antarabangsa setiap tahun antara faktor menarik perhatian orang ramai ke FLORIA Diraja Putrajaya.

“Tahun ini pereka bunga dan arkitek landskap tempatan serta luar negara seperti China, Jerman, Macau, Indonesia, Jepun, Korea, Belanda, Singapura, Taiwan, dan Thailand bakal menggayakan kewibawaan masing-masing menerusi rekaan dan gubahan tersendiri,” katanya.

Bagaimanapun, dalam mendepani cabaran untuk menjayakan FLORIA Diraja Putrajaya tahun ini, pelbagai usaha dilakukan seiring perkembangan ekonomi semasa.

Menurut Haslinda, beberapa langkah penjimatan dilakukan iaitu banyak membabitkan pihak PFSB sendiri.

“Daripada memberi keperluan atau barangan penting hingga kerja-kerja hiasan taman termasuk arca unik, semuanya kami hasilkan sendiri kerana ia lebih murah dan berbaloi.

“Malah kami turut mengenal pasti rakan perkongsian pintar iaitu syarikat korporat berpotensi menjadi penaja beberapa acara ketika FLORIA Diraja Putrajaya berlangsung,” katanya.

Bagi memudahkan pengunjung yang dijangka datang beramai-ramai, kaunter tiket masuk bakal dibuka dua hari sebelum FLORIA Diraja Putrajaya membuka tirainya, iaitu mulai 25 Mei ini dari 9 pagi hingga 7 malam.

FLORIA Diraja Putrajaya pula dijangka berlangsung 27 Mei hingga 4 Jun ini.

Justeru, pengunjung juga boleh membeli tiket atas talian dengan melayari laman web: www.floriaputrajaya.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:01 AM