Anjung Floria yang menjadi lokasi tetap penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2015 terus ‘meriah’ apabila beberapa komponen kekal mula menghiasi taman ikon flora dan landskap itu.

Taman Kufi Perbadanan Putrajaya (PPj) adalah komponen terbaru yang dibangunkan di Anjung Floria, malah ia mula dibuka kepada pelawat sempena Floria Diraja Putrajaya 2015 yang berakhir Ahad lalu.

Naib Presiden Jabatan Landskap dan Taman PPj Baharuddin Aziz berkata, bangunan berkenaan mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan sebelum dibuka kepada orang awam.

Beliau berkata, lebih menarik, Taman Kufi mendapat pengiktirafan apabila dipilih menerima anugerah taman terbaik sempena penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2015 baru-baru ini.

“Taman Kufi PPj memaparkan tiga elemen penting iaitu blok puzzle, dinding hijau dan atrium. Blok puzzle berwarna hijau itu dibangunkan di sekeliling bangunan di mana susunan kufi dapat dilihat dari pemandangan atas struktur bangunan berkenaan,” katanya.

Katanya, bangunan setinggi tujuh meter itu turut dihiasi tulisan kufi PUTRAJAYA.

Baharuddin berkata, struktur bangunan berkenaan mengambil masa selama satu setengah bulan untuk disiapkan manakala baki dua minggu lagi lebih menumpukan kepada perhiasan bunga-bunga dan landskap.

“Atrium pusat bangunan dan ia dikelilingi kaca lut sinar supaya pengunjung dapat melihat hiasan rimbunan tanaman serta persembahan 20 jenis spesies bunga yang diletakkan di dalam cermin kaca berkenaan,” katanya.

Katanya, taman berkenaan kelihatan lebih menarik pada waktu malam kerana ia akan memancarkan cahaya warna melalui susunan lampu yang dipasang.

Komponen kekal lain yang dibangunkan di Anjung Floria termasuk Taman Persahabatan China-Malaysia, Bustan Inggeris, Taman Fantasi, Taman Pinwheel, Galeria D’Floria dan Entrance Statement Floria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:43 AM