ASEH (tiga dari kiri) memperkenalkan bunga lily selepas sidang media FLORIA, semalam.
ASEH (tiga dari kiri) memperkenalkan bunga lily selepas sidang media FLORIA, semalam.
TEMA Bunga Lily sempena Floria Diraja 2015.
TEMA Bunga Lily sempena Floria Diraja 2015.
Oleh Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Buat pertama kalinya FLORIA Diraja Putrajaya (FLORIA) akan menampilkan Taman Musim Bunga dan Taman Musim Sejuk sebagai tarikan utama festival tahunan yang akan membuka tirai mulai 30 Mei hingga 7 Jun ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkata, dua taman itu akan memberi simulasi taman di negara Eropah pada musim berkenaan, malah salji juga akan turut diturunkan bagi membolehkan pengunjung merasai pengalaman di negara empat musim.

Beliau berkata, ia akan memberi satu pengalaman baru kepada pengunjung bukan sahaja dari segi cuaca dan suhu yang akan dikawal dengan penggunaan teknologi, tetapi bunga yang berasal di sana seperti Tulip dan Mawar juga akan dibawa untuk menghiasi taman itu.

“Bunga Mawar yang berasal dari Kenya dikatakan terbaik di dunia dan kita berpeluang untuk menghayati keindahan bunga ini di FLORIA yang diadakan di tapak kekalnya Anjung Floria, Presint 4, di sini.

“Taman Musim Bunga dan Musim Sejuk luaran ini adalah yang pertama dipamerkan dalam festival bunga di negara ini,” katanya pada sidang media memperkenalkan tema FLORIA 2015 di sini, semalam.

Bertemakan Alunan Pancarona, FLORIA yang memasuki edisi kelapan akan menampilkan bunga Lily sebagai bunga tema, malah pengunjung juga boleh mengetahui dengan lebih mendalam mengenai keluarga bunga berkenaan.

Lebih 300 aktiviti harian akan diadakan sepanjang sembilan hari festival itu berlangsung seperti demonstrasi gubahan bunga; bengkel berkebun, acara hiburan, pertandingan fotografi, pertandingan cat air serta seni dan kraf.

Aseh berkata, mulai tahun ini juga, penganjuran FLORIA diuruskan oleh anak syarikat milik penuh PPj iaitu Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB).

Menurutnya, lebih 400,000 pokok daripada pelbagai spesies, kultivar bunga serta tanaman hiasan bakal ditampilkan di tapak pameran seluas 11.2 hektar.

“PPj juga menyasarkan seramai sejuta pengunjung dari dalam dan luar negara akan mengunjungi FLORIA kerana ia diadakan pada musim cuti persekolahan.

“Bagi memudahkan pengunjung, kaunter tiket akan dibuka dua hari sebelum FLORIA 2015 membuka tirainya iaitu dari jam 9 pagi hingga 7 malam,” katanya.

Bagaimanapun, Aseh berkata, soal bayaran masuk belum diputuskan lagi setakat ini tetapi yang pastinya ia tidak akan membebankan pengunjung.

Tahun lalu pengunjung dikenakan bayaran RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

Selain itu, Aseh berkata, penyertaan peserta antarabangsa juga menjadi faktor yang menarik pengunjung ke FLORIA dan tahun ini dijangkakan 50 peserta antarabangsa akan menyertai festival itu berbanding 43 dari 23 negara tahun lalu.

Antara peserta antarabangsa adalah pereka bunga dan arkitek landskap berasal dari Australia, Kemboja, Kanada, China; Denmark, Ecuador, Hong Kong, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kenya, Korea, New Zealand, Belanda, Oman, Filipina, Republik Moldova, Singapura, Vietnam, Taiwan, Thailand dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:58 AM