KOTAK mengandungi rokok seludup ditemui di tepi jalan berhampiran  ladang  sawit.
KOTAK mengandungi rokok seludup ditemui di tepi jalan berhampiran ladang sawit.
ROKOK seludup yang dikilangkan pada 21 Februari 2011.
ROKOK seludup yang dikilangkan pada 21 Februari 2011.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penduduk di Kulai, Johor, gempar dengan penemuan ratusan karton rokok seludup yang dibuang di tepi jalan berhampiran sebuah ladang kelapa sawit, di sini, awal bulan lalu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dianggarkan terdapat 100 karton rokok seludup jenama Luffman dan U2 dibuang.

Sumber Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkata, pihak berkuasa menerima maklumat itu daripada penduduk sebelum melakukan pemeriksaan.

“Setiba di lokasi kejadian, pihak kami menemui ratusan karton rokok seludup dibuang. Keadaannya berwarna kuning dan berbau busuk.

“Pemeriksaan lanjut mendapati rokok ini dikilangkan pada 21 Februari 2011 dan dipercayai akan diedarkan dalam pasaran tempatan. Mungkin penyeludup menyedari ada operasi dilakukan pihak berkuasa menyebabkan mereka mengambil tindakan terdesak iaitu membuang kotak rokok itu di tepi jalan sebelum melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan penemuan itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan rokok seludup yang sudah tamat tempoh berlegar dalam pasaran tempatan.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Fakulti Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, produk tembakau luput tarikh berisiko mengandungi racun lebih tinggi dan sekali gus mengancam nyawa.

“Ini kerana produk tembakau luput tarikh akan ada perubahan yang berlaku sama ada secara fizikal mahu pun kimia. Sekiranya perokok menggunakan rokok itu, risiko jangkitan sehingga merosakkan sistem pernafasan boleh terjadi.

“Produk tembakau seperti rokok yang sememangnya secara umum diketahui adalah berbahaya kepada kesihatan manusia dan ia akan menjadi berkali-kali ganda bahaya sehingga boleh mengundang maut sekiranya sudah lama atau melepasi tarikh luput,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, bahan bakar tembakau yang terdapat dalam kandungan rokok seludup biasanya lebih tinggi.

Kandungan kimia beracun di dalam rokok seludup seperti arsenik, kadmium, tar dan nikotin lebih tinggi daripada paras dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Diagnosis yang biasa dikaitkan dengan tembakau ialah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) contohnya seperti kanser, penyakit jantung, pernafasan kronik, strok dan paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 8:16 AM