DR Ahmad Shukri
DR Ahmad Shukri
myMetro

Kuala Lumpur: Kandungan bahan kimia di dalam rokok seludup yang tercemar mampu meningkatkan risiko penyakit berbahaya kepada pengguna sehingga mengundang maut.

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, campuran beberapa bahan seperti debu dan habuk simen bersama bahan kimia lain mampu membunuh kerana ia beracun.

Katanya, rokok yang terdedah atau bercampur dengan kimia lain selain dalam tembakau seperti debu simen sangat berbahaya kerana boleh menambah risiko pneumoconiosis atau sakit paru-paru yang boleh menyebabkan lelah serta kanser.

“Biasanya di dalam rokok seludup, bahan kimia beracun adalah lebih tinggi daripada paras dibenarkan. Ia bertambah teruk apabila bercampur dengan debu simen kerana turut berisiko menyebabkan penyakit lain,” katanya.

Dr Ahmad Shukri berkata, ia boleh menyebabkan tisu paru-paru menjadi keras dalam tempoh yang singkat dan keadaan itu sudah pasti sangat membahayakan nyawa penghisap yang tidak tahu risikonya.

Selain itu, ia akan menyebabkan batuk darah, menjejaskan pusingan darah dan mengakibatkan ulser selain mengganggu sistem pernafasan.

“Ada juga kemungkinan penghisap akan terdedah kepada penyakit lain yang bukan disebabkan tembakau.

“Debu simen ini berbahaya sebab boleh menyebabkan batuk darah, menjejaskan pusingan darah dan menyebabkan ulser apabila debu memasuki sistem penghadaman.

“Banyak lagi kesannya seperti mengganggu sistem pernafasan, malah pengguna rokok seludup seperti ini boleh terdedah kepada penyakit lain bukan disebabkan tembakau antaranya ekzema iaitu penyakit kulit yang menyebabkan kemerah-merahan, gatal, kering, merekah, melecet, menggelupas, luka dan kadangkala kulit menjadi melecur,” katanya.

Berdasarkan analisis dibuat pihak berkuasa, kandungan kimia beracun di dalam rokok seludup seperti arsenik, kadmium, tar dan nikotin adalah lebih tinggi daripada paras dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Sesetengah pakar berpendapat, kesan menghisap rokok seludup adalah dua kali lebih teruk daripada yang sah dijual kerana kandungannya yang bercampur dengan bahan kimia.

Memburukkan lagi keadaan, ia juga dikatakan menggunakan gred tembakau rendah dan terbuang tetapi dikitar semula untuk membuat rokok murah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:24 AM