NAJIB  menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman Rakan Strategik Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016   di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Kuala Selangor, semalam.
NAJIB menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman Rakan Strategik Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Kuala Selangor, semalam.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Selangor: Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 (JPB2016) akan memastikan 150,000 anak muda yang tercicir dalam pendidikan diberi peluang untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan akan menjelajah ke 52 kawasan luar bandar dan pedalaman untuk mengenal pasti pelajar yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian.

Beliau berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian di menara gading.

Katanya, program berkenaan menyasarkan 150,000 pelajar dalam tempoh tiga tahun untuk digilap menjadi insan yang lebih baik bukan saja melalui akademik, malah diberi peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Program ini adalah aspirasi kerajaan untuk memastikan golongan muda yang bakal memimpin negara menjadi individu yang cemerlang dalam pendidikan sekali gus menjadi rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi.

“Kami akan menjelajah ke 52 kawasan khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman untuk mempromosikan peluang pendidikan ini supaya anak muda berpotensi dapat mengambil peluang melanjutkan pengajian,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Mentor JPB2016 berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran jelajah itu yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Kuala Selangor, semalam.

JPB2016 adalah kesinambungan program Jelajah Destini Anak Bangsa yang bertapak di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak 2010.

Antara institusi pendidikan yang turut serta adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Kuala Lumpur (UNIKL), Politeknik, Kolej Komuniti, Giat MARA, Kolej Polytech MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan.

Menurutnya, JPB2016 menyasarkan 37,000 pelajar untuk kemasukan pertama pada Mei ini dan jumlahnya mungkin ditingkatkan berdasarkan jumlah penempatan di UiTM dan institusi pendidikan yang turut serta dalam program berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, jelajah itu diyakini mampu mengubah landskap pendidikan negara ke satu tahap yang lebih baik yang mana lebih ramai pelajar mendapat manfaat.

“Nasib anak muda yang cemerlang, namun kurang berkemampuan serta tercicir akan dibela oleh kerajaan dan jelajah ini adalah satu daripada usaha murni kerajaan.

“Jadi peluang ini yang patut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengubah taraf hidup menjadi lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:55 AM