OGU Salim (berdiri, tengah) dan Selamat bersama peserta Kursus Lifesaving Instructor And Bronze Medallion di Pantai 3, Teluk Kemang, Port Dickson.
OGU Salim (berdiri, tengah) dan Selamat bersama peserta Kursus Lifesaving Instructor And Bronze Medallion di Pantai 3, Teluk Kemang, Port Dickson.
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) merekodkan sebanyak 642 kes kemalangan di air yang membabitkan 653 mangsa, sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah JPAM, Datuk Ogu Salim Omar berkata, pihaknya merancang untuk menambah anggota di setiap kawasan rekreasi seluruh negara terutamanya di kawasan air terjun seperti Ulu Bendul, Kuala Pilah.

“Kita mahu anggota sukarelawan JPAM dapat ditempatkan di kawasan terbabit terutama kawasan tumpuan pelancong dan menumpukan usaha memantau serta menyelamatkan mangsa.

“Susulan itu, kita meletakkan sasaran 2 juta anggota sukarelawan selewat-lewatnya menjelang 2018,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Kursus Lifesaving Instructor And Bronze Medallion dan penyerahan prosedur tetap operasi (PTO) di Pantai 3, Teluk Kemang, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) JPAM Datuk Selamat Dahlan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Datuk Ab Khalid Mat.

Ogu Salim berkata, sasaran penambahan sukarelawan terbabit bertujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Setakat ini, JPAM mempunyai 850,000 sukarelawan seluruh negara. JPAM berharap lebih ramai orang awam yang berminat menyertai JPAM. Setiap anggota mestilah komited menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam program itu, seramai 62 peserta sukarelawan JPAM menghadiri kursus yang diadakan julung kali bagi melatih mereka menjadi jurulatih bertauliah.

Kursus lima hari itu turut mendapat kerjasama daripada wakil Pasukan Penyelamat Sukarelawan Australia dan Indonesia yang memfokuskan kepada penyelamatan di air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 9:10 AM