Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Berdepan pengunjung ‘keras kepala’ dan enggan menurut arahan antara cabaran dilalui anggota penyelamat pantai atau ‘Baywatch’ Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ketika menjalankan tugas di sepanjang pantai Port Dickson.

Timbalan Ketua JPAM Port Dickson Staf Muda Mohd Asri Yaakob berkata, pihaknya banyak menerima laporan daripada anggota Baywatch berhubung tindakan segelintir pengunjung enggan menurut arahan ditetapkan.

“Banyak laporan diterima apabila ada pengunjung berdegil jika diminta ke pantai apabila diarahkan. Kadang kala, kami mendapat maklumat air pasang besar atau amaran tsunami, jadi kami mengibarkan bendera merah walaupun ketika itu air tenang dan cuaca baik.

“Nyawa pengunjung menjadi keutamaan kami dan jika keadaan tidak selamat, kami tidak teragak-agak mengarahkan mereka naik ke pantai walaupun ketika itu air laut kelihatan tenang.

“Ada juga pengunjung mencabar kami supaya memanggil polis jika mahu mereka naik ke darat. Kami hanya menjalankan tugas seperti diarahkan dan sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana laut sukar dijangka,” katanya.

Katanya, orang ramai seharusnya lebih faham kerana tugas anggota penyelamat ialah memantau dan memberi nasihat sebarang kejadian bakal berlaku.

“Kami berharap supaya orang ramai terutama pengunjung tempatan lebih bertanggungjawab dengan sentiasa memberikan kerjasama kepada pasukan penyelamat pantai kerana mereka hanya menjalankan tugas diamanahkan.

“Kami perlu menjaga nama baik pasukan penyelamat dan Port Dickson yang diiktiraf antara kawasan Pantai Peranginan Negara dan pada masa sama pandangan pelancong luar negara yang sentiasa menilai sikap dan perilaku warga tempatan,” katanya.

Mohd Asri berkata, pantai Port Dickson menjadi keutamaan pelancong kerana jaraknya tidaklah jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu 40 kilometer.

“Setiap anggota penyelamat pantai memikul tanggungjawab berat iaitu menjaga keselamatan pengunjung. Kami turut berperanan memastikan kemalangan sifar menjelang 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 9:11 AM