KEADAAN  Abu Ammar  yang menderita barah tulang tahap empat.
KEADAAN Abu Ammar yang menderita barah tulang tahap empat.
Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: “Berat sangat, nak bangun pun tak boleh, tak tahu berapa berat, tetapi yang pasti lebih berat daripada bola boling,” kata Abu Ammar Mustaqim Abu Bakar, 22, yang menderita akibat barah tulang tahap empat menyebabkannya terlantar selepas tangan kirinya bengkak luar biasa yang mula dikesan Ogos tahun lalu.

Dia yang baru menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh berkata, penderitaannya bermula ketika dia terjatuh ketika bermain futsal, April tahun lalu menyebabkan tangan kirinya sakit terutama bahu.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk empat bulan kemudian apabila bahagian bahu mula bengkak dan semakin membesar pada hujung tahun lalu.

“Saya pelik apabila tangan kiri sukar dan ketat untuk masuk ke dalam lengan baju sebelum lama-kelamaan langsung tidak muat.

“Kini, tangan saya hampir lima bulan bengkak hingga akhirnya tidak mampu lagi bergerak dan tidak dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Anjung Bercham Elit, di sini, semalam.

Katanya, kehidupannya kini semakin sukar apabila mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan diri selain hilang selera makan menyebabkan berat badannya turun.

Bapanya Abu Bakar Ali, 52, berkata, anak sulung daripada enam adik beradik itu dimaklumkan doktor pakar menghidap barah tulang yang jarang ditemui.

“Saya membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan kemudian menjalani ujian imbasan magnetik (MRI) di Hospital Pantai di sini, sebelum ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Doktor memaklumkan penyakit barah merebak ke tepi tulang rusuk dan luar paru-paru, namun saya tetap berusaha sedaya upaya dan selebihnya berserah kepada Allah,” katanya.

Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu berkata, dia bersama isteri Rosmah Said, 47, melakukan pelbagai usaha untuk merawat penyakit anaknya yang memerlukan RM420 setiap kali rawatan serta menyewa tangki oksigen dengan kos RM300 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Rosmahwati Ishak meluangkan masa semalam melawat Abu Ammar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 10:01 AM