SIVAKUMAR (tengah) pada sidang media selepas Majlis Sambutan Deepavali anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). FOTO L Manimaran
SIVAKUMAR (tengah) pada sidang media selepas Majlis Sambutan Deepavali anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak menerima sebarang aduan dan laporan berhubung pemberhentian kerja susulan kempen boikot yang digerakkan rakyat negara ini terhadap syarikat dan produk berkaitan Israel, setakat ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kementeriannya bagaimanapun sedia melihat perkara itu secara lebih mendalam sekiranya menerima aduan daripada pekerja yang terjejas susulan kempen boikot itu.

"Setakat ini KSM tidak terima laporan berkaitan dengan pembuangan kerja dan sebagainya. Jika ada, kementerian ada akan melihat isu ni, namun setakat ini tidak ada.

"Kalau ada aduan kita akan tengok. (Memandangkan sekarang) tiada aduan maka saya tak boleh komen," katanya kepada pemberita sempena majlis sambutan Deepavali Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, sebanyak tiga mesin hemodialisis didermakan kepada Pusat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF); Yayasan Dialisis Pendidikan Akhlak Perak; dan Persatuan Meningkat Akhlak Woh Peng Cheang Seah; selain penyerahan duit raya kepada anak yatim piatu, ibu tunggal; dan bantuan kepada sembilan badan kebajikan sekitar sini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sebelum ini, media melaporkan kempen boikot produk dan syarikat yang berkaitan dengan Israel susulan kekejaman rejim itu terhadap rakyat negara Palestin memberi kesan kepada pendapatan pekerja tempatan dengan ada antara mereka diberhentikan kerja susulan pendapatan syarikat jatuh mendadak.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata sebanyak 1,771 mesin hemodialisis didermakan oleh kepada pusat dialisis panel pertubuhan itu sejak tahun 1998 yang setakat Oktober lalu membabitkan perbelanjaan RM46.84 juta.

Sivakumar berkata, pihaknya cakna kapasiti mesin hemodialisis yang ditempatkan di pusat dialisis panel Perkeso ketika ini tidak dapat menampung keseluruhan keperluan rawatan.

Ia berikutan jumlah pesakit buah pinggang di Malaysia yang direkodkan dalam tempoh 10 tahun lalu adalah antara yang tertinggi di dunia.

"Jika tidak silap saya, lebih 9,000 individu dikenal pasti menghidapi penyakit buah pinggang setiap tahun dan sejumlah besar terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi membiayai pesakit terbabit, dengan anggaran antara RM300 juta ke RM350 juta dibelanjakan kerajaan setahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 4:47 PM