Fadillah (dua dari kanan) pada lawatan kerja naik taraf jalan dari Bulatan Sultan Masor ke Kuala Berang.
Fadillah (dua dari kanan) pada lawatan kerja naik taraf jalan dari Bulatan Sultan Masor ke Kuala Berang.

Marang: Kementerian Kerja Raya menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya terdapat kontraktor yang diberi tanggungjawab membina jalan menggunakan material tidak mengikut spesifikasi ditetapkan sehingga menyumbang kepada masalah jalan tidak rata dan beralun.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementerian sentiasa membuat pemantauan ke atas kerja yang dijalankan oleh kontraktor dilantik dan perkara seperti itu tidak berlaku.

“Sekiranya ada pihak yang menggunakan bahan tidak berkualiti atau membina jalan tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan, kami tidak akan membuat bayaran.

“Masalah jalan tidak rata atau beralun biasanya kerana faktor permukaan tanah yang berada di kawasan tanah gambut yang menyebabkan pemendapan pada jalan,” katanya selepas lawatan kerja menaik taraf Jalan dari Bulatan Sultan Mansur ke Kuala Berang, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Mohd Iskandar Jaafar dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Ir Ab Hamid Md Daud.

Fadillah berkata, selain faktor permukaan tanah, kenderaan yang bermuatan berat melalui jalan juga menyumbang kepada berlakunya pemendapan tanah yang menyebabkan jalan beralun.

“Jika dulu jalan hanya dilalui kenderaan yang bersaiz sederhana, tetapi sekarang kenderaan berat ditambah dengan jumlah muatan turut melalui jalan sama menyebabkan masalah itu bertambah teruk.

“Isu kontraktor menggunakan bahan tidak bermutu sehingga menyumbang kepada masalah itu tidak berlaku kerana JKR mementingkan kualiti selain kerja pembinaan perlu mengikuti spesifikasi ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kementerian memberi jaminan jalan yang dibina mencapai piawaian mengikut standard antarabangsa.

“Paling penting orang awam dan pengguna jalan raya perlu turut sama memainkan peranan dengan melaporkan kepada kami sekiranya berlaku masalah pada jalan terutamanya jika melihat pagar di lebuh raya yang rosak dan membolehkan haiwan memasuki kawasan lebuh raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:07 AM