Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sebahagian daripada jajaran projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) akan dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Fadillah berkata, kelewatan itu berpunca berikutan masalah yang dihadapi oleh kontraktor terbabit. "Salah satu penyebab kelewatan dahulu adalah ada perubahan dari segi jajaran.

"Selain itu, proses pengambilan tanah, seperti yang kita tahu ia bukan di bawah kawalan kami tetapi di bawah kerajaan negeri. Mereka terpaksa menyelesaikan banyak perkara, apabila tanah tidak selesai projek itu tidak dapat dijalankan.

"Sebab itu, saya jangkakan ada sebahagian 'portion' daripada WCE itu hanya akan siap tiga tahun daripada sekarang," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2022 di Hotel Casuarina Meru, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, salah satu jajaran WCE di Tanjong Karang di Selangor kontraktor berdepan beberapa masalah untuk meneruskan projek.

"Ada satu seksyen di Tanjong Karang, kontraktor mereka tidak dapat meneruskan dan ada masalah sikit, IJM Corporation Bhd (IJM) sendiri mengambil alih projek itu," katanya.

Di samping itu, mengulas berkenaan laluan Ulu Dedap - Lekir, Manjung yang didakwa menimbulkan kekeliruan pengguna jalan raya, beliau berkata, pihaknya akan melihat isu berkenaan.

"Kalau itu aduan dan sebagainya, kita akan melihat dan memastikan mereka akan mempertingkatkan dari segi sudut keselamatan," katanya.

Fadillah berkata, namun maklumat dan data daripada polis dan sebagainya perlu diambil untuk memastikan punca sebenarnya isu kemalangan.

"Kita akan melihat adakah ia disebabkan pengurusan trafik, atau tidak cukup papan tanda dan membuatkan orang keliru dan sebagainya.

"Jadi, mungkin WCE perlu mempertingkatkan dari segi papan tanda, tanda arah dan kalau perlu meletakkan apa langkah untuk mengurangkan berlaku kejadian kemalangan," katanya.

Terdahulu, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang dibina di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menghubungkan Taiping, Perak ke Banting di Selangor.

Lebuhraya ini dibina oleh Konsortium Lebuhraya Pantai Barat (KLPB) yang diketuai oleh Kumpulan Europlus Berhad yang juga syarikat di bawah IJM Corporation Berhad.

Kerajaan membenarkan pembinaan pada 20 Disember 2013 dan siap dalam 5 tahun tetapi projek ini dilewatkan dan pembinaan bermula pada Mei 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 4:46 PM