FADILLAH (dua dari kiri)  mendengar penerangan mengenai perkembangan projek, semalam.
FADILLAH (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai perkembangan projek, semalam.
Ardyhansah Amat

Gurun: Kementerian Kerja Raya (KKR) menegur tindakan kontraktor yang tidak meletakkan penghadang jalan secara konsisten di sepanjang projek jalan sambungan Lebuhraya Utara-Selatan ke Pulau Bunting, di sini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan itu boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan sepanjang tempoh pembinaannya.

“Semua kontraktor yang dilantik perlu memasang penghadang jalan selari dengan Program Pengurusan Trafik yang ditetapkan KKR.

“Namun berdasarkan tinjauan sepanjang perjalanan tadi (semalam) terdapat sebahagian kawasan yang tidak dipasang penghadang,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Justeru, beliau menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memantau semua kontraktor yang dilantik agar mematuhi pemasangan penghadang jalan di sepanjang lokasi projek.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat Projek Jalan Sambungan Lebuhraya Utara-Selatan ke Pulau Bunting di Tapak Rekreasi kaki Gunung Jerai.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Zohari Akob dan Exco Kerja Raya Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Sementara itu, Fadillah berkata, projek yang sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), menelan belanja RM225,997,959.93.

“Laluan sepanjang 18.2 kilometer ini dijangka siap sepenuhnya 23 Mei 2018.

“Ia dilihat mampu menyediakan perhubungan darat yang lebih berdaya maju selain mewujudkan prasarana jalan raya yang lengkap bagi menjana pembangunan di Pulau Bunting dan kawasan sekitar,” katanya.

Menurut Fadillah, selain aspek pembangunan setempat, projek ini turut memberi manfaat kepada kawasan perindustrian berat di Gurun untuk dihubungkan dengan pelabuhan yang bakal dibina di Pulau Bunting.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 9:34 AM