NOORIZAH (belakang tiga dari kanan) bersama penerima sumbangan.
NOORIZAH (belakang tiga dari kanan) bersama penerima sumbangan.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Jerlun: Keputusan menaikkan kadar tol lebuh raya di bawah syarikat konsesi lebuh raya Plus Malaysia Berhad (PLUS), bergantung kepada kerajaan kerana ia belum diumumkan lagi sama ada boleh menaikkannya atau tidak.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, jika diikutkan perjanjian, konsesi PLUS boleh menaikkan kadar tol pada tahun depan namun tidak banyak iaitu lima peratus saja bersamaan 0.68 sen bagi satu kilometer (km).

“Maknanya kalau perjalanan itu 100 km, mereka membayar kira-kira 70 sen daripada biasa.

“Keperluan menaikkan kadar tol memang ada disebabkan ia ada dalam perjanjian yang membenarkan kenaikan lima peratus setiap tiga tahun di mana kita sudah menganggarkan keperluannya pada masa akan datang kerana kos semakin hari semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kembali ke Sekolah Parlimen Jerlun di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Hitam, di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dan Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu, Abd Razak Mat.

Noorizah berkata, kenaikan itu perlu kerana kos semakin meningkat tambahan PLUS tidak pernah menaikkan kadar tol sejak 2005 lagi.

“Jadi, selama ini peningkatan kos ditanggung sendiri tanpa ada kenaikan dan sebab itu di dalam perjanjian konsesi dimasukkan kenaikan secara berperingkat.

“Kita juga sememangnya mengadakan perbincangan di semua peringkat namun keputusan muktamad di peringkat kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Noorizah bersama Othman menyampaikan sumbangan kepada wakil murid yang memperoleh dua pasang pakaian sekolah, beg, kasut dan alat tulis melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat PLUS.

Seramai 1,000 murid dari 19 sekolah kebangsaan dan enam sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) di Parlimen Jerlun terpilih menerima sumbangan itu bagi mengurangkan beban perbelanjaan keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:25 AM