Lebuhraya Baru Pantai (NPE) antara yang kadar tol dinaikkan. - Foto NSTP(Fail)
Lebuhraya Baru Pantai (NPE) antara yang kadar tol dinaikkan. - Foto NSTP(Fail)

Putrajaya: Kerajaan campur tangan menghalang kenaikan kadar tol lebih tinggi tiga lebuh raya yang mencadangkan menaikkan kadar tol RM2 tetapi kerajaan memutuskan pada kadar RM1 sahaja.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, syarikat konsesi berhak menaikkan kadar tol seperti ditetapkan dalam kontrak tetapi tidak menaikkan kadarnya sejak 2008.

Kami (kerajaan) menangguhkannya ... sebenarnya ia sepatutnya dinaikkan pada 2014 tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kata tidak boleh dan benarkan kami jalankan kajian mendalam dan mengadakan rundingan lanjutan dengan syarikat konsesi.

"Selepas rundingan itu, kami akhirnya perlu menaikkannya walaupun kadar kenaikan itu dikatakan tinggi," katanya ketika diminta mengulas kemarahan orang ramai terhadap kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di Lembah Klang.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Antarabangsa Ukur Bahan 2015 di sini hari ini, Fadillah berkata kerajaan dijangka membayar RM1.6

bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi terbabit sekiranya kadar tol tidak dinaikkan menjelang tahun depan.

Berdasarkan perjanjian dengan syarikat-syarikat konsesi, beliau berkata, kerajaan pada tahun ini perlu membayar RM580 juta sebagai pampasan.

“Walaupun kenaikan tol dilaksanakan, kerajaan masih membayar pampasan berjumlah RM510 juta dalam tempoh Januari hingga (15) Oktober berikutan penangguhan kenaikan tol yang sepatutnya dilaksanakan Januari tahun ini,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:29 PM