Kota Kinabalu: Malfon Utoh, 27, yang menikam hingga mati neneknya, terpaksa ditembak polis kerana dia didapati tidak menunjukkan tingkah laku untuk menyerah diri selain dilihat memegang senjata tajam dan mahu menyerang anggota polis yang cuba menahannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, suspek dikenali sebagai Malfon Utoh, 27, disahkan mati serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan pada badan dan kaki.

“Tindakan ini terpaksa diambil selepas suspek bertindak agresif terhadap anggota polis dengan menghayunkan senjata tajam.

“Suspek ditembak mati jam 10.15 malam di depan rumahnya di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, semalam.

Terdahulu, dalam kejadian jam 7.10 petang, suspek yang dipercayai penagih dadah menikam neneknya sendiri sehingga mati. Mangsa, Mallina Udin, 75, maut akibat ditikam sebanyak 12 kali di perutnya.

“Berdasarkan maklumat awal, suspek menemui neneknya untuk meminta wang tetapi tidak dipenuhi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 9:20 AM