MEARIA (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM10,000 kepada Alias.
MEARIA (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM10,000 kepada Alias.

Dungun: Bank Simpanan Nasional (BSN), menyasarkan pembabitan seramai sejuta pelajar menyertai Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) dalam tempoh dua tahun lagi.

Naib Presiden Kanan/Ketua Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN Datuk Mearia Hamzah berkata, SGSP yang dilaksanakan itu sehingga tahun lalu mencatatkan simpanan melebihi RM514 juta iaitu meningkat sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, SGSP yang dibuat penambahbaikan pada 2013 lalu turut meningkatkan jumlah hadiah wang tunai dan menambah bilangan hadiah kepada pelajar yang mengambil bahagian.

“Penyertaan daripada pelajar amat membanggakan pada 2013 mencatatkan seramai 567,000 kepada 800,000 pelajar pada tahun lalu.

“Oleh itu, pada 2017 nanti kita menyasarkan peningkatan kepada sejuta pelajar dengan sasaran simpanan melebihi RM600 juta,” katanya di majlis Penutup BSN School Carnival di Sekolah Kebangsaan Balai Besar yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu Roslee Daud.

Hadir sama, Pengarah Perniagaan BSN Terengganu, Mohd Ghazali Abu Zahid, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar, Che Robiah Abdullah dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Balai Besar, Alias Senik.

Mearia berkata, bagi mencapai sasaran kutipan itu, pihaknya mengarahkan semua pengurus BSN di setiap negeri supaya bekerja keras bagi menarik minat pelajar menyertainya.

“Kita juga berharap kepada golongan ibu bapa agar memberi sokongan kepada anak mereka untuk menyimpan bagi masa depan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Mearia juga berharap lebih ramai pelajar menyertai Kelab Penabung Muda (KPM) yang kini keahliannya melebihi 220,000 pelajar.

Menurutnya, antara kemudahan yang disediakan kepada KPM membabitkan perkhemahan, kursus kepimpinan dan motivasi, klinik sukan, seminar pendidikan dan sebagainya.

“Setiap ahli KPM juga diberi perlindungan insurans kemalangan berkelompok selama 24 jam termasuk belanja pengurusan pengebumian sebanyak RM3,000 dan menikmati kadar faedah tahunan antara 1.20 hingga 1.70 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 6:03 AM