Georgetown: Program Karnival Sekolah BSN 2014 yang dianjurkan Bank Simpanan Nasional (BSN) berjaya menarik 42,717 pelajar dari 308 sekolah di negeri ini menyertai Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP).

Jumlah penyertaan dicatatkan bagi pertandingan simpanan pelajar BSN itu membabitkan penyimpanan wang berjumlah RM30 juta.

Ketua Bahagian Kewangan BSN Frederick Siew berkata, karnival itu bertujuan memupuk amalan menyimpan wang dalam kalangan pelajar sekolah nyata memberi impak positif.

Beliau berkata, bagi Kelab Penabung Muda (KPM) pula, seramai 14,808 pelajar dari 399 sekolah di seluruh negeri ini terbabit serta mencatatkan jumlah simpanan RM14 juta.

“Melalui pemberian hadiah kepada jumlah simpanan terbanyak seperti dianjurkan BSN, ia memberi persaingan sihat kepada pelajar untuk memanfaatkan peluang ini.

“Di samping memupuk budaya menabung, mereka berpeluang menikmati keistimewaan seperti insurans dan hadiah pertandingan yang lumayan.

“Sehingga kini, 800,000 pelajar menyertai skim KPM dan SGSP di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Karnival Sekolah BSN 2014 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng di sini, kelmarin.

Sementara itu, 80 gerai jualan mengambil bahagian pada karnival berkenaan yang bertujuan mendapatkan dana untuk menaik taraf dewan sekolah itu.

Frederick berkata, karnival itu bukan saja sebagai tanggungjawab sosial korporat BSN, malah membantu pelajar untuk turut serta dalam program mengumpul dana serta memberi pengalaman keusahawanan.

Beliau berkata, secara tidak langsung, pihak sekolah dapat menarik pembabitan daripada orang ramai untuk menyumbang bagi pembangunan kemudahan sekolah itu.

SJKC Chong Cheng turut menerima sumbangan daripada Pengerusi Jemaah sekolah Datuk Tan Choo Hin sebanyak RM30,000 sebagai dana untuk menambah baik kemudahan dewan sekolah itu manakala Pengarah BSN negeri, Mazlan Mat Jalil turut menyampaikan cek sebanyak RM10,000 iaitu tajaan yang diberikan BSN kepada sekolah yang menyertai Karnival Sekolah BSN 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:12 AM