HAYATI menyuap air kepada ibunya, Hasnah di Kampung Binjai, Kota Bharu.
HAYATI menyuap air kepada ibunya, Hasnah di Kampung Binjai, Kota Bharu.
Hazira Ahmad Zaidi


KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung demi kelangsungan hidup bersama dua anaknya serta seorang cucu.

Hasnah Senik, 59, berkata, dia yang terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang papan di Pasir Tumboh sejak lebih 30 tahun lalu apabila sering mengalami pening dan tidak boleh berdiri dalam tempoh lama.

Katanya, hingga kini doktor masih tidak dapat mengesan punca penyakit itu menyebabkan dia tidak mampu melakukan apa jua bentuk pekerjaan untuk menyara keluarga.

“Seorang anak yang juga berstatus ibu tunggal, Hayati Mohd Nawi, 36, mengalami penyakit sama sejak setahun lalu.

“Ketika sihat, Nor Hayati mengambil upah membuat dan menjual kuih di kawasan sekitar dengan pendapatan harian RM20 sehari namun selepas kesihatan Nor mula merosot, dia kini tidak lagi mampu melakukan kerja untuk menyara diri sendiri serta anak perempuannya,” katanya di rumahnya di Kampung Binjai, di sini, kelmarin.

Menurutnya, kini tugas menyara keluarga digalas oleh anak bongsunya, Mohd Rizal Mohd Nawi, 32, yang bekerja di sebuah kedai membuat cermin di Kubang Kerian dengan pendapatan RM50 sehari.

“Walaupun saya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan, namun ia tidak mencukupi.

“Kami pernah makan nasi putih berlauk ikan kering dan berkuah kicap selain biskut kering dengan teh kosong untuk alas perut apabila tiada wang,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0399541000420524 atas nama Hasnah Senik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:31 AM