Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Seorang timbalan pendakwa raya (TPR) di negeri ini diberkas polis selepas disyaki memiliki dadah di rumahnya di Garden Avenue, Seremban 2, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, pegawai undang-undang berusia 34 tahun itu ditahan jam 1 petang oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan IPD Kajang, Selangor.

Beliau berkata, suspek sebelum itu ditahan di Kajang kerana kesalahan sama sebelum serbuan dilakukan di rumahnya di Garden Avenue.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik utama rumah suspek, polis menemui satu peket plastik lut sinar mengandungi methampetamine seberat 1.17 gram.

“Polis merampas dadah berkenaan dan ujian air kencing terhadap penjawat awam itu mendapati dia positif dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek direman mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama iaitu memasukkan dadah ke dalam badan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 6:05 AM