Nilai: Seorang timbalan pendakwa raya (TPR) yang ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah di rumahnya di Garden Avenue, Seremban 2, dekat sini, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 34 tahun terbabit sebelum ini direman sehari bagi membantu siasatan berikutan penemuan itu, Khamis lalu.

Menurutnya, pegawai undang-undang terbabit diberi jamin, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 12(3), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a), akta sama.

Difahamkan, serbuan itu dilakukan berikutan laporan polis dibuat seorang individu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersabit Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.

Sepasukan polis terbabit dengan bantuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan ke rumah suspek jam 1 petang, Khamis lalu, dan menemui dadah.

Harian Metro semalam melaporkan, pegawai undang-undang itu ditahan selepas pemeriksaan dalam bilik utama rumahnya menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi methampetamine seberat 1.17 gram dan ujian air kencing terhadap penjawat awam itu mendapati dia positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:10 AM