KRU KD Selangor memantau di lokasi pencarian di sekitar perairan Bintulu. FOTO ihsan TLDM
KRU KD Selangor memantau di lokasi pencarian di sekitar perairan Bintulu. FOTO ihsan TLDM
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kru KD Perantau yang dikhuatiri jatuh laut di perairan Bintulu, Isnin lalu, diperluaskan sehingga 5,625 batu nautika (bn), hari ini.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, operasi SAR turut mengekalkan dua pesawat iaitu Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pesawat Beechcraft B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pencarian hari keempat diteruskan dengan penambahan keluasan kepada 5,625 bn persegi iaitu 25 bn Barat Daya dari Bintulu.

"Aset TLDM masih berada di kawasan pencarian iaitu KD Selangor, KD Perantau, KD Serang dan MV Mega Bakti, namun tiada penemuan sehingga pagi ini," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Katanya, operasi SAR turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menghantar dua aset iaitu KM Semilang dan Km Siakap dari Bintulu ke kawasan pencarian.

"Aset Pasukan Polis Marin (PPM) turut terbabit dalam SAR di kawasan pesisir perairan Bintulu dan perairan Miri.

"Diharap, dengan kerjasama dari semua pihak akan memudahkan lagi operasi pencarian mangsa," katanya.

Pada 17 April lalu, Laskar Kelas II Komunikasi Amirul Bahari Ismail, 22, hilang dan dikhuatiri jatuh laut selepas kali terakhir dilihat berada di bilik rehat pada 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang selepas berada di Malaysia Timur selama enam hari bagi melaksanakan ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi.

KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal itu melawat Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk ulang bekal sebelum meneruskan pelayaran pulang ke Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 11:47 AM