Kapal peronda ketiga milik TLDM yang  siap dibina di limbungan Wuchang Ship Building Industry Group Ltd (WSIG) di Wuhan, China.
Kapal peronda ketiga milik TLDM yang siap dibina di limbungan Wuchang Ship Building Industry Group Ltd (WSIG) di Wuhan, China.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Aset ketenteraan negara bakal diperkuatkan lagi apabila kapal terbaharu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) siap dibina di limbungan Wuchang Ship Building Industry Group Ltd (WSIG) di Wuhan, China.

Kapal ini adalah salah satu dari empat kapal peronda TLDM bernilai lebih RM 1 billion yang selesai melalui fasa pembinaan dan diturunkan ke air pada 28 Oktober lalu.

Kapal Littoral Mission Ship (LMS) TLDM ini akan menjalani fasa ujian penerimaan di pelabuhan itu sebelum diserahkan kepada TLDM.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam kenyataan semalam, memaklumkan kapal itu bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung September 2021.

"Kapal LMS ketiga ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama kapal KD KERIS (LMS Pertama) dan kapal SUNDANG (LMS Kedua), dan sebuah lagi kapal (LMS Keempat) dijangka akan dilancarkan pada November 2020.

"Bakal Warga Kapal (BWK) LMS ketiga ini dijangka akan diatur gerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada Mei 2021 di China," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan upacara rasmi penamaan LMS Ketiga ditangguhkan dan akan dilaksanakan serentak dengan upacara penyerahan fizikal kapal itu yang dijadualkan pada September 2021 susulan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, bagi penyerahan kapal SUNDANG (LMS Kedua) yang dijadualkan pada 12 April 2020 turut terjejas susulan pandemik Covid-19 dan akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia apabila selesai menjalani latihan penyesuaian yang tertangguh di China.

Perolehan kapal-kapal LMS ini dilaksanakan di bawah Kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) yang dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC), China.

Kapal LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, Search and Rescue (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia.

Kapal sepanjang 68 meter dan seberat 710 tan itu turut dilengkapi sistem persenjataan kombat, meriam 30mm dan Electro Optical Tracking System (EOTS) bagi pengawasan kedaulatan perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 5:27 PM