Nurul Hidayah Bahaudin


KAPAL Littoral Mission Ship (LMS) yang pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Keris diserahkan kepada kerajaan dalam majlis di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port, Qidong, Shanghai, China, semalam.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) yang dianggotai empat wakil kerajaan diketuai Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman melakukan pemeriksaan dokumentasi dan fizikal selain mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal berkenaan.

“Selesai pemeriksaan, upacara menandatangani Sijil Penerimaan Akhir dan Sijil Penyerahan Fizikal sebagai simbolik kejayaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) menyerahkan kapal disempurnakan Ahmad Husaini bagi pihak kerajaan Malaysia yang disaksikan Panglima Armada Timur, Laksamana Datuk Syed Zahrul Putra Syed Abdullah yang mewakili TLDM serta Ketua Pegawai Eksekutif BNSSB, Ee Teck Chee.

“Keris dibina pada 31 Julai 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan dan dilancarkan Normah Alwi yang juga isteri Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada 15 April lalu,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan Keris melepasi beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan laut sebelum diserahkan kepada kerajaan.

“Keris dijadual untuk ditauliahkan di lokasi sama dalam upacara pentauliahan penuh istiadat dan tradisi TLDM pada 6 Januari nanti yang disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

“Untuk rekod, LMS satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada TLDM. Kontrak perolehan empat LMS dimeterai antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan BNSSB pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:06 AM