Pulau Reunion (Perancis): Juruterbang pesawat syarikat penerbangan Air France mendakwa melihat satu objek besar berwarna putih terapung di lautan ketika mahu mendarat di pulau ini semalam.

Pulau Reunion adalah lokasi satu bahagian sayap pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang ditemui pada Julai lalu.

Air France dalam satu kenyataan berkata, juruterbangnya yang dalam penerbangan dari Paris ke Pulau Reunion melihat objek putih itu pada pagi semalam ketika terbang pada ketinggian 3,000 meter.

Pihak berkuasa di Pulau Reunion berkata, mereka mengarahkan sebuah kapal dan pesawat tentera menuju ke kawasan objek putih itu dikesan terapung, kira-kira 70 kilometer dari pulau ini.

Bagaimanapun, kapal yang tiba di lokasi yang ditunjukkan juruterbang itu sehingga kini tidak menemui objek putih berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 9:44 AM