Kuala Lumpur: Usaha mencari lebih banyak serpihan pesawat MH370 disambung semula semalam di Pulau Reunion selepas ditangguhkan sejak Jumaat kerana cuaca buruk, demikian menurut laporan Agence France-Presse (AFP).

Agensi berita itu melaporkan sebuah pesawat berlegar di ruang udara sementara pasukan mencari menjalankan pencarian di kawasan timur di pantai pulau milik Perancis itu.

“Unit tentera laut dan polis dikerah jika serpihan dijumpai di laut,” kata pejabat kerajaan tempatan dalam satu kenyataan yang memetik AFP.

Menurut agensi berita itu, pasukan mencari menggunakan pesawat pengangkut kecil tentera dalam pencarian selain menggunakan tiga helikopter polis dan tentera laut serta tiga bot.

AFP melaporkan usaha mencari juga dijalankan di pulau Mauritius yang terletak berhampiran.

Awal pagi Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan serpihan dikenali sebagai flaperon (komponen sayap pesawat) yang dijumpai di Pulau Reunion ialah milik Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Rekod penyelenggaraan dan tanda pengesahan (seal) teknikal pada flaperon adalah bukti konklusif bahawa serpihan berkenaan dari pesawat MH370.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang dari imbasan radar pada 8 Mac, 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:18 AM