ROSMAH hadir pada pameran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015.
ROSMAH hadir pada pameran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Hanya 44.4 peratus bayi menyusu susu ibu secara eksklusif sehingga berusia enam bulan berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Kementerian Kesihatan sehingga kini, kata Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, wujud cabaran dihadapi ibu terbabit untuk memberi penyusuan eksklusif antaranya komitmen kerja, kurangnya kesedaran kebaikan susu ibu serta beberapa masalah lain yang tidak dapat dielakkan.

“Melalui usaha yang giat dijalankan kita berharap dapat meningkatkan data ini dan jika boleh, jumlah peratusan itu meningkat hingga 100 peratus.

“Sokongan kepada ibu terbabit penting bagi memastikan bayi dapat diberikan susu ibu secara eksklusif sehingga usia enam bulan dan penyusuan itu diteruskan kepada usia dua tahun,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Ini adalah tahun ke-23 negara menyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia dengan tema kali ini ialah ‘Penyusuan Ibu dan Kerja: Mari Jayakan!’.

Dalam usaha menyediakan sokongan awal terhadap penyusuan bayi, Dr Subramaniam berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Hospital Rakan Bayi sejak 22 tahun lalu.

“Sehingga kini sebanyak 147 hospital mendapat pengiktirafan itu dan kebanyakannya adalah hospital kerajaan,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Rosmah meminta pihak berkenaan mempertimbangkan cadangan mewujudkan tempat penyusuan susu ibu di tempat awam.

“Saya melihat bilangan tempat penyusuan bayi masih rendah terutama di pusat beli-belah, stesen bas kereta api dan lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata, negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat lebih terbuka mengenai amalan penyusuan susu ibu.

“Tempat penyusuan bayi terutama di lokasi awam turut diperbanyakkan seperti taman rekreasi, dalam pengangkutan awam, kedai dan restoran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 9:23 AM