PESERTA seminar menandatangani ikrar.
PESERTA seminar menandatangani ikrar.
ROKIAH (kiri) dan Dr Noor Haliza merasmikan Konvensyen Sokongan Penyusuan Susu Ibu Kebangsaan 2014.
ROKIAH (kiri) dan Dr Noor Haliza merasmikan Konvensyen Sokongan Penyusuan Susu Ibu Kebangsaan 2014.
PESERTA melawat pameran yang diadakan.
PESERTA melawat pameran yang diadakan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi.

[email protected].

Tahun ini, kita me­nyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang ke-22 pada September lalu dengan tema Penyusuan Susu Ibu: Satu Matlamat Kejayaan Sepanjang Hayat.

Sambutan itu menekankan kepentingan untuk meningkatkan dan me­ngekalkan perlindungan, galakan serta sokongan terhadap penyusuan susu ibu dalam agenda selepas 2015.

Hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang ketiga pada 2006 menunjukkan peratus ibu yang pernah memberikan susu badan kepada bayi mening­kat kepada 95 peratus berbanding 88.6 peratus pada 1996.

Data tahunan yang dikumpul dari negeri pula menunjukkan penyusuan susu ibu secara eksklusif iaitu 0 hingga usia enam bulan meningkat daripada 16.2 peratus pada tahun 2010 kepada 36.6 peratus pada 2013.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga me­nganggarkan kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dapat dikurangkan antara 13 hing­ga 20 peratus sekiranya penyusuan susu ibu diamalkan secara eksklusif.

Ini bermaksud tiada makanan atau minuman tambahan, puting dan sebagainya untuk tempoh enam bulan pertama dan diteruskan hingga ke usia dua tahun atau lebih. Ia kemudian akan diikuti dengan pengenalan makanan tambahan bermula selepas bayi berusia enam bulan ke atas.

Khasiat susu ibu

Menurut Pengarah Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan, Rokiah Don, sokongan suami, ahli keluarga, masyarakat sekeliling, tempat kerja, majikan, sistem penjagaan kesihatan, kerajaan dan sistem perundangan dalam negara sangat penting untuk membantu wanita bergelar ibu memulakan, mengekalkan serta meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

"Susu ibu bukan saja makanan yang terbaik untuk bayi tetapi ia dapat membantu melindungi si kecil daripada risiko kegemukan, tahap kolesterol tinggi (hiperkolesterolemia) dan penyakit berjangkit.

"Kajian juga menunjukkan pe­nyusuan susu ibu berupaya mengekalkan tahap kesihatan kanak-kanak hingga dewasa. Individu yang membesar dengan susu ibu didapati mempunyai tekanan darah yang terkawal dan rendah paras kolesterol.

"Malah anak juga didapati kurang mengalami masalah berat badan yang berlebihan. Beberapa data mengesyorkan individu yang diberi susu ibu menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam ujian kecerdasan minda," katanya.

Tambahnya, penyusuan susu ibu juga benar-benar menjimatkan kos kerana ia tidak perlu dibeli, bahkan membekalkan zat pemakanan yang lengkap untuk anak.

Justeru, penyusuan susu ibu seharusnya diterapkan sebagai langkah pertama ke arah usaha mengurangkan masalah kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak.

Di Malaysia, kesedaran mengenai penyusuan susu ibu semakin meningkat, itu pun selepas menyedari ­me­ngenai pelbagai manfaat yang terkandung dalam susu ibu.

Namun, sokongan daripada pelbagai pihak dan agensi masih kurang manakala sesetengah ibu yang menyusukan anak secara eksklusif pada tiga bulan pertama gagal meneruskan amalan berkenaan apabila mereka kembali bekerja.

"Sistem sokongan terhadap amalan penyusuan susu ibu secara berterusan boleh didapati dalam pelbagai kaedah sama ada secara tradisional atau moden.

"Kunci kepada kejayaan amalan penyusuan susu ibu ialah dengan memastikan sistem sokongan wujud secara berterusan terutama dalam kawasan kediaman dan komuniti mereka.

"Setiap ibu sudah dimantapkan dengan ilmu dan kemahiran menyusukan bayi, namun apakah sebab ada sesetengah daripada mereka masih belum mampu melakukannya secara eksklusif?

"Antara cara yang dapat membantu mereka ­me­nyusukan bayi ialah dengan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa," katanya.

Ujarnya, aktiviti soko­ngan penyusuan susu ibu secara berkumpulan atau pertubuhan sangat penting dalam membantu mening­katkan kesedaran umum mengenai amalan dan kebaikan susu ibu secara me­nyeluruh.

Sokongan lain seperti perkhidmatan penjagaan bayi yang mesra penyusuan, kemudahan di tempat kerja dan kehadiran kumpulan sokongan dalam masyarakat juga diperlukan bagi memastikan ibu dapat me­ncapai matlamat penyusuan masing-masing.

Di peringkat keluarga pula, suami, ibu dan ibu mentua adalah sistem sokongan yang diperlukan untuk memberi kejayaan kepada penyusuan yang dapat dilakukan dalam suasana selesa serta tidak tertekan.

"Pada masa kini, hampir semua wanita bersalin di hospital dan peranan pihak ini ialah membantu memberi ibu pengalaman yang positif. Justeru, Hospital Rakan Bayi boleh mening­katkan kadar memulakan pemberian susu badan ketika berada di hospital.

"Pihak hospital wajar meneruskan kesinambungan memberi soko­ngan kepada ibu selepas mereka pulang ke rumah dengan menubuhkan dan mengukuhkan kumpulan sokongan.

"Ini kerana kumpulan sokongan ini banyak membantu si ibu untuk membuat persediaan lebih terancang terutama bagi wanita bekerja seperti cara pengendalian dan penyimpanan stok susu ibu atau susu perahan (EBM) sebelum kembali bertugas," katanya pada majlis perasmian konvensyen, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pusat Laktasi Kebangsaan KKM, Dr Noor Haliza Yussoff dan kumpulan sokongan daripada pelbagai negeri.

Bagi menyokong amalan penyusuan susu ibu ini, pel­bagai strategi dan aktiviti dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan. Kita semua sedia maklum bahawa penyusuan berlaku dengan sempurna apabila bayi mendakap erat ibu dan bibir­nya rapat dengan payudara sehingga aktiviti menyusu berjalan dengan penuh mesra.

Hubungan erat ini ­hanya dapat dinikmati suri rumah, namun tidak bagi ibu berkerjaya yang terpaksa meninggalkan susu perahan kepada pengasuh.

Justeru, konvensyen anjuran Pusat Laktasi Kebangsaan yang diadakan pada 1 dan 2 November lalu di Auditorium Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur bertepatan dengan tema dan matlamatnya.

Ia juga diadakan untuk menghimpunkan semua kumpulan sokongan pe­nyusuan susu ibu di seluruh negara bagi mengadakan perbincangan rangka kerja dan pelan tindakan ketika bengkel berlangsung.

Ia diadakan bersama jawatankuasa Eksekutif Zon Pusat Laktasi Kebangsaan bagi meningkatkan ­pengetahuan dan motivasi masing-masing agar kumpulan sokongan ini menjadi lebih berkesan dalam mening­katkan peratusan penyusuan susu ibu secara eksklusif di Malaysia.

Aktif sebar ilmu

Bantuan diperlukan apabila ada dalam kalangan ibu yang masih tercari-cari ilmu dan kemahiran dalam pe­nyusuan susu ibu yang terbaik terutama bagi ibu muda. Ramai ibu muda yang berang­gapan proses penyusan sangat mudah dan kemahiran itu boleh datang dengan sendiri.

Ia memang mudah namun jika tiada ilmu, pasti aktiviti penyusuan susu ibu tampak sukar selepas ibu melalui saat genting ketika melahirkan bayi. Ada juga ibu yang kecewa apabila mendapati mereka seolah-olah 'kurang susu' untuk diberikan kepada si kecil lalu mengambil lang­kah mudah dengan menggantikannya dengan susu formula.

Justeru, kehadiran kumpulan sokongan sangat membantu menjadikan matlamat penyusuan susu ibu dapat dicapai dengan cemerlang walaupun selepas kembali bertugas.

Pengerusi Titisan Emas Kumpulan Sokongan Pe­nyusuan Susu Ibu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Nora Herni Abdul Rahim berkata, antara masalah biasa yang dihadapi kebanyakan ibu menyusu ialah menganggap ia dapat dilakukan secara semula jadi.

"Ilmu dan maklumat yang diterima perlu tepat kerana ada wanita yang beranggapan pengeluaran susu adalah sesuatu yang normal dan keluar secara semula jadi selepas proses kelahiran, sedangkan ia tidak mampu dijangka oleh sesiapa.

"Selain itu, ada juga wanita yang menganggap dapat mengeluarkan susu yang banyak selepas kelahiran. Sebenarnya, bekalan jumlah susu dikeluarkan berdasarkan permintaan atau kekerapan penyusuan anak, apatah lagi perut mereka masih kecil.

"Ramai ibu silap dan berasa panik apabila jumlah susu yang dikeluarkan sedikit dan berasa ia tidak cukup mengenyangkan bayi mereka. Ketika ini, mulalah terfikir untuk memberikan anak dengan susu formula," katanya.

Ujarnya, selain itu ada juga yang mengalami masalah payudara bengkak kerana kehadiran susu yang banyak dan tidak tahu cara mengurangkan kesakitan, sekali gus menganggap pe­nyusuan menyakitkan.

Justeru, setiap ibu atau bakal ibu perlu tahu me­ngenai ilmu penyusuan dan teknik lekapan yang betul agar ia dapat dilakukan ­dengan selesa serta gembira kerana emosi yang lahir juga mempengaruhi jumlah susu yang dikeluarkan.

Selain itu, ruang penyusuan di tempat kerja juga memainkan peranan ­penting bagi memastikan aktiviti perahan susu dapat dilakukan dengan baik.

"Di sini kehadiran kumpulan sokongan sangat membantu, apatah lagi selepas keluar hospital terutama kepada ibu baru. Mereka juga perlu tahu bagaimana perahan, penyimpanan stok dan pemberian susu EBM dengan betul jika ia dilakukan di tempat kerja agar khasiat yang terkandung di dalamnya tidak rosak," katanya.

Titisan Emas adalah kumpulan sokongan pe­nyusuan susu ibu peringkat komuniti yang dilatih dan dilaksanakan Unit ­Pemakanan, Jabatan Kesihatan ­Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ­Putrajaya.

Kumpulan sokongan ini memberi bantuan nasihat mengenai penyusuan susu ibu kepada wanita hamil atau ibu melalui aktiviti seperti kaunseling di pameran hari kesihatan, ceramah, lawatan ke wad bersalin dan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:00 AM