URUTAN pada payudara merangsang kelenjar susu.
URUTAN pada payudara merangsang kelenjar susu.
Nurul Husna Mahmud


SATU kempen yang cukup penting buat golongan ibu iaitu Minggu Penyusuan Ibu Sedunia diadakan pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun.

Sejak Ogos 1990, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) komited dalam advokasi mengenai kepentingan penyusuan anak dengan susu ibu dalam memastikan kesejahteraan ibu serta anak.

Meskipun terdapat peningkatan dalam kadar penyusuan ibu sehingga 50 peratus sejak empat dekad lalu, namun kempen itu dilihat sangat penting tatkala dunia berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Pengarah Eksekutif Unicef, Henrietta Fore berkata, susu ibu masih menjadi sumber nutrisi terbaik bagi setiap bayi dilahirkan.

"Program penyusuan susu ibu disarankan dalam satu jam pertama kelahiran dan perlu diikuti dengan penyusuan eksklusif selama enam bulan sehingga berterusan ke usia dua tahun.

"Pelan program penyusuan seperti ini bagi bayi di peringkat global sangat penting dalam agenda menentang isu membabitkan kesejahteraan kesihatan kanak-kanak dan ibu seperti semua bentuk kekurangan zat makanan kanak-kanak, pengabaian dan kegemukan.

"Penyusuan susu ibu juga berfungsi sebagai vaksin pertama bayi, melindungi mereka daripada pelbagai penyakit yang mudah dihadapi kanak-kanak, " katanya.

Tema tahun ini iaitu Lindungi Penyusuan Ibu: Tanggungjawab Bersama dilihat sangat signifikan apabila pandemik ini menyebabkan persekitaran berubah hingga mempengaruhi rutin harian ibu dan anak-anak.

Meskipun ramai komited memenuhi tanggungjawab berkenaan, namun isu atau dilema dihadapi ibu adalah kekurangan susu dalam badan menyebabkan mereka sukar menyusu anak secara eksklusif.

Dalam menyemarakkan kempen kesedaran itu, dikongsikan beberapa tip yang boleh dilakukan golongan ibu dalam usaha memperbanyakkan susu badan.

1. Rangsang pengeluaran susu badan dengan rutin pam yang sistematik dan konsisten.

Satu portal berkait dengan penyusuan bayi menyarankan ibu supaya wujudkan rutin tertentu atau berjadual bagi merangsang kelenjar susu dan otak menghasilkan susu mencukupi.

Umpamanya, selepas setiap kali menyusu anak, rehat selama 10 hingga 15 minit sebelum menyambung kerja untuk pam susu dalam durasi yang sama (10 hingga 15 minit).

Ulang kaedah ini selama dua kali meskipun hasil pertama kali susunya kurang. Ini usaha untuk hantar isyarat seolah-olah menyusukan dua anak sekali gus atau dalam tempoh jurang masa yang pendek.

2. Latih diri pam susu atau susukan anak adalah detik paling menyeronokkan bersama bayi. Rasa seronok itu dikatakan menyuntik elemen positif dan menyebabkan otak dapat bertindak balas dengan baik untuk menghasillan lebih banyak susu.

3. Makan lebih banyak protein untuk hasilkan susu badan mencukupi. Biasanya untuk hasilkan susu badan sekurang-kurangnya perlu 300 kalori dan perlu diingat lemak juga penting dalam pembentukan sel otak dan tumbesaran tubuh untuk tahun pertama bayi.

4. Elak makan makanan boleh merencatkan penghasilan susu badan seperti kobis, oregano, coklat dan kopi. Galakkan pengambilan makanan yang dapat merangsang penghasilan susu seperti kurma, kismis, delima dan habbastus sauda.

5. Urutan pada bahagian payudara terutama puting dan kelenjar susu boleh rangsang pengeluaran susu badan. Kaedah memerah susu semula jadi juga disarankan kerana lebih selesa dan tidak menyakitkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 6:44 AM