Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Cyberjaya: Memuat naik gambar 'selfie' menyusukan bayi ke laman sosial seperti Facebook (FB) disifatkan tidak sesuai dengan adab dan budaya masyarakat Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihak kementerian sangat menggalakkan amalan penyusuan susu ibu kepada bayi namun harus sesuai dengan adab dan budaya di negara ini.

"Kami bersama Kementerian Kesihatan sangat menggalakkan pemberian susu ibu kerana terdapat banyak khasiat dan ia memberi kebaikan kepada bayi.

"Bagaimanapun, janganlah ia dipertontonkan kepada umum (termasuk di media sosial) serta menggunakan kain khas sebagai penutup ketika menyusukan bayi sewaktu berada di tempat awam," katanya pada sidang media selepas menyampaikan siri perbentangan pada Konvensyen Antarabangsa Universiti Islam Malaysia (UIM) Mengenai Hikmah 2.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan ibu muda yang memuat naik gambar 'selfie' sedang menyusukan bayi di FB sehingga mengundang pelbagai reaksi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:06 PM