Johor Bahru: Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan seperti Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) dan juga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung penangguhan pelaksanaan wajib lulus Bahasa Inggeris bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata, pertemuan itu dijangka selepas pihaknya selesai berbincang dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia di Putrajaya, minggu depan.

Beliau berkata, pertemuan dengan lembaga peperiksaan bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung keputusan penangguhan berkenaan selain berbincang perkara lain yang berkaitan.

“Saya akan menemui PAGE dan NUTP bagi memberikan penjelasan kepada mereka mengenai perkara ini dan hasil pertemuan bersama lembaga peperiksaan,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian penutupan Karnival Perpaduan Bahasa Inggeris Peringkat Kebangsaan Piala Tan Sri Muhyiddin Yassin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus dan Peperiksaan Pusat Amali Sains (PPAS) bagi SPM 2016 turut ditangguhkan.

Penangguhan bagi syarat wajib lulus Bahasa Inggeris itu bagi memberi ruang dan peluang kepada guru, pelajar serta pihak berkaitan membuat persediaan rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 9:13 AM