Putrajaya: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan membuat cabutan undi bagi 26 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) membabitkan 60,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sebelum akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua projek perumahan iaitu di Bertam, Pulau Pinang dan Kuala Ketil, Kedah dijangka siap bagi tempoh sama.

“Pada masa sama, sebanyak 24 projek perumahan di seluruh negara dalam proses pembinaan.

“Keutamaan cabutan undi ini akan diberikan kepada mereka yang sudah mendaftar dan sehingga Julai lalu seramai 1.02 juta pemohon direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Program Bantuan Pembeli Rumah PR1MA di sini, semalam.

Abdul Mutalib berkata, sehingga Julai lalu, pihaknya meluluskan pembinaan sebanyak 153,807 unit rumah mampu milik yang akan dibina di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:12 AM