CHIK Omar menunjukkan barang yang dirampas.
CHIK Omar menunjukkan barang yang dirampas.

Sepang: Cubaan penyeludup menyembunyikan dadah dalam bungkusan makaroni gagal apabila taktik licik itu dihidu pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di pusat kargo Malaysia Airlines (MAS) di sini, 3 Ogos lalu.

Ia berikutan pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan tidak dituntut yang tiba di negara ini menemui dadah jenis Ketamine seberat 2.5 kilogram (kg) bernilai RM95,850 disembunyikan dalam sembilan bungkusan makaroni.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, bungkusan itu tiba dari Lagos, Nigeria pada 29 Julai lalu dan sepatutnya dihantar ke alamat penerima di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun beliau berkata, selepas beberapa hari penerima gagal dihubungi menerusi telefon bimbit yang dibekalkan pada kotak berkenaan.

“Sehubungan itu, kami merampas barangan itu dan dibawa ke pejabat. Hasil pemeriksaan mendapati kotak itu diisi sembilan bungkusan makaroni, satu bungkusan ikan masin dan 37 peket mi segera.

“Imbasan menerusi mesin pengimbas X-ray menemui ketulan serbuk putih dalam bungkusan makaroni itu,” katanya di sini, semalam.

Chik Omar berkata, siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan pemilik bungkusan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, namun sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:17 AM