Oleh Hayati Ibrahim


Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (JDK KLIA) berjaya gagalkan dua cubaan menyeludup dadah seberat 3.7 kilogram (kg) bernilai RM704,140.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, seorang lelaki warga asing turut ditahan dalam dua kes berasingan pada 21 dan 22 Oktober lalu.

"Kejadian pertama pada 21 Oktober lalu, Kastam KLIA memeriksa satu parcel mencurigakan yang tiba digudang Pos Malaysia dari Lagos, Nigeria.

"Pemeriksaan itu membawa penemuan tiga tin makanan yang didalamnya mengandungi serbuk putih yang diuji positif dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 1.02 kg bernilai RM194,940," katanya dalam sidang media di sini.

Chik Omar berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik parcel itu tetapi gagal kerana alamat dan nombor telefon yang digunakan adalah palsu.

Bagi kes kedua, seorang lelaki warga China ditahan selepas menemui dadah methamphetamine seberat 2.68 kg bernilai RM509,200 dalam bagasi yang dibawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 1:19 PM