ANGGOTA penyelamat JPAM membuat rondaan di sepanjang pantai Teluk Kemang, Port Dickson.
ANGGOTA penyelamat JPAM membuat rondaan di sepanjang pantai Teluk Kemang, Port Dickson.

Port Dickson: Bukan senang menjadi ahli pasukan menyelamat pantai jika semangat tidak kuat kerana seseorang itu perlu memiliki keberanian dan semangat yang tinggi.

Jadi tidak hairanlah ramai orang termasuk remaja kagum dengan kehebatan anggota Baywatch dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bagi Muhammad Darwish Abdullah, 17, anggota Baywatch dari kalangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sememangnya diketahui sebagai skuad elit di pantai Port Dickson.

“Saya suka melihat cara, mereka menjalankan tugas tetapi adakalanya nampak susah dan berbahaya. Hanya pasukan ini bolehlah dikategorikan sebagai cekap dan terlatih.

“Kalau ada peluang mungkin satu hari nanti saya juga mahu menjadi sebahagian pasukan ini. Saya masih ingat apabila berpeluang melihat cara mereka bertugas mencari mangsa lemas di Pantai 3, Teluk Kemang tahun lalu.

“Hampir 24 jam mereka bertugas tanpa henti mencari mangsa dan pada masa sama ombak kuat. Keberanian mereka wajar dipuji dan akhirnya mayat ditemui terapung.

“Kalau tidak kuat semangat mungkin saya sudah pengsan,” katanya.

Rakannya, Muhammad Akmal Aliff Shah Eran, 17, berkata, kerjaya sebagai anggota penyelamat pantai amat menarik perhatian ramai pihak dan sesuatu yang menyeronokkan.

“Saya juga berharap sekolah mewujudkan pasukan beruniform JPAM kerana secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar mendekati situasi sebenar.

“Pelajar dapat mempelajari sedikit sebanyak kemahiran menyelamat pantai walaupun hanya berkenaan teknik asas,” katanya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin, Lukut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 9:11 AM