Oleh Rozainah Abdul Rahim

Port Dickson: Seorang kanak-kanak lelaki enam tahun hilang ketika berkelah bersama keluarganya di Pantai Bagan Pinang, di sini, 5.30 petang ini.

Kehilangan G Shasikumar disedari keluarganya ketika mereka sedang menjamu selera di pesisir pantai selepas mandi di laut.

Bapanya, S Ganesan, 35, berkata anaknya itu tidak mandi bersama sebelum itu.

"Kami datang dari Cheras, bersama kira-kira 20 ahli keluarga dan saudara mara untuk berkelah di tepi pantai Port Dickson. Ketika sedang makan, saya secara tiba-tiba menyedari dia sudah hilang menyebabkan kami sekeluarga cuba mencarinya lebih satu jam sekitar pantai namun tidak menemuinya," katanya.

Menurutnya, Shasikumar mempunyai ketinggian 0.9 meter dan memakai baju-t biru serta berseluar pendek hitam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mustafa Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan 7.12 petang dan tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.

"Operasi mencari dan menyelamat membabitkan tujuh anggota dan dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Port Dickson. Sehingga 9 malam, operasi masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 10:00 PM