AHLI keluarga mengusung keranda Shashi Kumar.
AHLI keluarga mengusung keranda Shashi Kumar.

Port Dickson: Percutian sebuah keluarga sempena cuti Deepavali berakhir tragedi apabila mereka kehilangan anak lelaki berusia enam tahun yang ditemui lemas di Pantai Bagan Pinang, Batu 3, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, G Shashi Kumar, 6, bersama keluarganya dari Cheras, Kuala Lumpur berkelah di pantai itu sebelum disedari hilang jam 5.45 petang dan mayatnya ditemui anggota mencari dan menyelamat di pesisiran pantai.

Bapa saudara mangsa, R Selvakumar, 34, berkata, mangsa hilang selepas lima minit berada berhampirannya bermain pasir.

“Kami hairan kerana dia takut bermain atau mandi seorang diri di laut. Sebelum itu, mangsa berada di belakang saya bermain pasir.

“Sebaik menyedari mangsa sudah tiada, kami berusaha mencarinya di sekitar pantai namun tidak menemuinya. Selepas lebih satu jam mencari, baru kami melaporkan kehilangannya kepada polis dan bomba kira-kira jam 7 malam,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD), di sini, semalam.

Selvakumar berkata, mangsa dilihat begitu gembira bermain dengan ahli keluarga sebelum kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharudin Mustapha berkata, pihaknya melakukan operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:19 AM