GAMBAR Puteri Balqis dimuat naik di laman sosial Instagram.
GAMBAR Puteri Balqis dimuat naik di laman sosial Instagram.

Kuala Lumpur: “Sebenarnya kami tidak ambil peduli pun, malah kami pun tidak melatah dengan kecaman mereka. Kami tenang saja.”

Demikian reaksi Azizi Aziz, 37, bapa kepada pelakon cilik popular Puteri Balqis Azizi, 8, berhubung kutukan dan cemuhan orang ramai di media sosial mengenai gambar-gambar pelakon itu memakai bikini ketika mandi di laut yang dimuat naik di Instagram, baru-baru ini.

Azizi berkata, mereka sekeluarga terkilan dan hairan dengan kontroversi itu kerana ia dicetuskan segelintir pihak yang cenderung mencari kesalahan individu lain berbanding hal sendiri.

“Kehidupan mereka lebih sibuk sebagai ‘keyboard warriors’ dengan mencari kesalahan orang lain hingga lupa dengan kesalahan sendiri. Pada saya itu lebih menyedihkan,” katanya.

Kontroversi membabitkan beberapa gambar Puteri Balqis berbikini di Instagram mencuri perhatian apabila sebahagian pengguna Internet menghentam pelakon itu seksi dan mendedahkan aurat.

Walaupun ada segelintir pihak mempertahankan Puteri Balqis dan menganggap cemuhan berkenaan adalah perkara mengarut, tidak kurang juga mendakwa perkongsian gambar sebegitu boleh menarik perhatian golongan fidofilia.

Azizi berkata, serangan terhadap anaknya itu menunjukkan segelintir ibu bapa sekarang lebih cenderung mengambil tahu hal keluarga lain berbanding keluarga sendiri.

“Saya tengok ibu bapa di luar lebih suka pegang telefon bimbit daripada pimpin tangan anak sendiri kerana heboh sangat hendak melentur anak orang lain.

“Tapi saya sendiri sebagai bapa Balqis tidak ada Instagram, Twitter atau Facebook kerana saya lebih mementingkan keluarga saya dan hubungan kami anak-beranak sangat rapat,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan risiko gambar itu boleh menarik minat golongan fidofilia, Azizi secara sinis berkata, sebagai ibu bapa mereka lebih mengetahui cara untuk melindungi pelakon kanak-kanak itu.

“Golongan fidofilia ada di mana-mana. Sama juga seperti pelacuran, orang buang anak, rasuah dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:05 AM