Oleh Roslen Fadzil

Sudah melangkah kita ke minggu kedua 2015. Boleh dikatakan semua orang termasuk anak seni mendoakan yang lebih baik lagi bagi tahun ini agar kehidupan kita semua tambah makmur dan sejahtera.

Ramai berpendapat 2014 sebagai tahun paling mencabar, penuh dengan mimpi ngeri, malapetaka dan musibah. Kehilangan dua pesawat Penerbangan Malaysia (MH) paling dirasai bukan saja oleh Malaysia, tetapi juga dunia. MH370 masih hilang sementara MH17 ditembak jatuh di Ukraine. Ini ditambah pula dengan episod banjir di pantai timur.

Dunia hiburan sendiri menyaksikan pelbagai kemelut yang tidak disangka-sangka. Paling mendapat perhatian, antaranya Hanez Suraya bercinta dengan suami orang, Tasha Shilla dituduh membuat aksi terlampau dengan kekasihnya, Raja Azmi Raja Sulaiman bercerai lagi , kes buku cek SENIMAN dibawa 'lari ' dan terbaru, ayah bintang cilik Puteri Balqis dituduh 'demand' dan menumpang rezeki anaknya.

Cerita yang lain itu mungkin agak basi dan saya lebih tertarik untuk memperkatakan mengenai Puteri Balqis yang baru berusia tujuh tahun, tetapi sudah dua kali merangkul trofi aktres terbaik. Maklumlah kejayaan yang dirasai Balqis itu satu fenomena baru yang tidak pernah terjadi di Malaysia.

Dalam meraikan kejayaan manis itu, tiba-tiba terbit cerita ayah dan ibu Balqis bersikap 'demand' dan berselisih faham dengan produser Shiela Rusly dan suaminya, pengarah terkenal Jinggo. Kata pihak produser, ayah Balqis iaitu Azizi Aziz, 36, yang membatalkan tawaran berlakon drama enam episod pada saat-saat akhir, namun Azizi sendiri mendakwa sebaliknya.

Dalam hal ini kedua-dua pihak yang terbabit saja lebih tahu hal sebenar kerana rundingan antara mereka dibuat menerusi telefon, WhatsApp dan e-mel. Bagaimanapun, saya lebih tertarik dengan isu Azizi dianggap menumpang rezeki anak tunggalnya itu.

Sebenarnya saya sudah lama kenal Azizi kerana dia dulu adalah bekas kakitangan Pengurusan Sumber Manusia (HR) di The New Straits Times Press (M) Berhad, tempat saya bekerja. Beliau pernah berkhidmat di situ selama tiga tahun bermula 1997 dan kemudian meninggalkan tugas itu untuk berniaga sendiri.

Kata Azizi ketika umur Balkis dua tahun lebih, dia dilamar produksi Kabir Bhatia untuk membintangi drama bersiri Gemilang. Sejak itulah Balqis terus berlakon dan berlakon daripada tidak pandai bercakap sehinggalah merangkul trofi aktres terbaik.

Kita faham industri secara global memerlukan pelakon kanak-kanak. Kalau hanya pelakon dewasa, tentu industri lakonan terasa hambar. Jadi dalam menguruskan soal tawaran dan sumber kewangan seorang kanak-kanak itu, tentulah ibu bapa mereka yang lebih layak menyempurnakannya. Soal wang kita faham sangat, sedangkan adik-beradik pun boleh bergaduh, inikan pula kalau diserahkan duit dan cek ke tangan orang asing.

Saya juga difahamkan, Balkis belajar secara 'home tutor' di rumah dan ketika ini dia sudah mampu menghafal pengajian tahun empat. Kalau tidak berlakon, dia akan belajar sendiri dan banyak bertanyakan gurunya. Saya yakin tidak semudah itu ibu dan bapa Balqis mengabaikan pendidikan anak mereka itu. Kita faham zaman sekarang pendidikan boleh ditimba melalui pelbagai saluran dan platform.

Kata Erma Fatima pada saya baru-baru ini, Puteri Balqis adalah seorang kanak-kanak yang luar biasa. Dia memiliki kebolehan menghafal skrip yang hebat dan mampu memahami kata-kata serta arahan pengarah dengan cerdas. Jadi kehadirannya sesuatu yang istimewa kepada industri hiburan Malaysia.

Jadi saya rasa tidak enak kalau dalam situasi yang berlaku sekarang ini, Balqis menjadi mangsa. Tentu Azizi mahukan layanan yang sewajarnya untuk anaknya itu berdasarkan jumlah komitmen yang diberikan produser sementara Sheila atau Jinggo di pihak produser sudah masak dengan harga pasaran untuk pelakon tempatan. Mereka bukannya orang baru dalam dunia drama.

Seperkara lagi, tidak elok kalau kita suka membawa hal-hal berkaitan kerja terus ke laman sosial atau ke telinga media kerana ia mestilah diselesaikan dulu di meja atau bilik perundingan. Perkara ini juga sama dengan hal yang berlaku dengan SENIMAN ketika ini kerana hal-hal dalaman persatuan mestilah diatasi dengan bijak oleh mereka yang mengemudinya.

Saya harap semua kemelut yang berlaku ketika ini akan dapat dirungkaikan. Tidak perlulah kita mencanang perkara yang tidak baik kepada orang yang tidak perlu kerana mereka bukannya hendak membantu sangat pun. Ramai yang lebih suka menjadi batu api dan bertepuk tangan. Sandiwara luar dan dalam artis kita akhirnya menjadi bahan tontonan dan ejekan. Jumpa lagi--[email protected] / instagram slenfadzil

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 5:02 AM