Kuala Lumpur: Jaminan hilang berat badan 10 kilogram (kg) dalam tempoh masa seminggu. Itu antara janji ‘maut’ sebuah syarikat yang dikesan menjual pil kurus beracun kepada orang ramai.

Difahamkan syarikat terletak di Kepong, di sini, dikesan mengaut keuntungan besar dengan menjual pil kurus didakwa dihasilkan daripada herba dan tumbuhan semula jadi.

Bagaimanapun, siasatan dan ujian makmal dilakukan Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kapsul kurus dijual itu mengandungi kimia berbahaya sibutramine.

Kimia itu diharamkan penggunaannya di negara ini selepas meragut nyawa beberapa pengguna yang memakannya sebelum ini.

Sumber berkata, hasil siasatan dilakukan BPF membawa kepada serbuan di premis milik seorang ahli perniagaan berusia 40-an di Kepong.

Menurutnya, siasatan mendapati butik pakaian milik ahli perniagaan itu dijadikan stor untuk penyimpanan pil kurus haram berkenaan.

Dalam serbuan jam 11 pagi semalam, BPF menyoal siasat dua kakitangan butik itu. Hasil pemeriksaan menemui lebih 500 botol pil kurus yang disimpan di dalam stor di premis itu.

“Bagaimanapun, pemilik premis itu gagal disoal siasat berikutan dia berada di Kelantan. Difahamkan setiap botol pil kurus itu dijual pada harga RM100.

“Berdasarkan maklumat, produk kurus ini turut dijual di negara jiran. Ini terbukti apabila Kementerian Kesihatan Brunei mengharamkan produk berbahaya itu yang dikesan dijual di negara itu pada 9 Mei lalu,” katanya.

Susulan itu BPF merampas semua botol pil kurus mengandungi kimia sibutramine.

“Pemilik premis boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, produk mengandungi sibutramine ditarik balik pendaftarannya di Malaysia pada 23 Disember 2012 atas sebab peningkatan risiko serangan jantung dan strok.

“Antara kesan sampingan lain kimia sibutramine adalah peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, kering mulut dan tekak, muntah, cirit-birit, pening, sakit kepala dan kesukaran tidur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:54 AM