ANTARA produk rangsangan seks haram yang pernah dirampas pihak berkuasa, namun muncul semula di pasaran, baru-baru ini.
ANTARA produk rangsangan seks haram yang pernah dirampas pihak berkuasa, namun muncul semula di pasaran, baru-baru ini.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin


KOPI ‘Harimau’ muncul kembali! Malah kopi songkok dan kopi lelaki perkasa, pil kelapa kembar, gula-gula seks Soloco dan pelbagai produk rangsangan seks haram lain mudah ditemui di pasaran.

Itu antara ratusan jenama produk rangsangan seks haram yang dikesan masih dijual peniaga sekitar ibu negara susulan operasi berterusan dilakukan Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Wilayah Persekutuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak sebulan lalu.

Ternyata, pihak sindiket yang pernah ditumpaskan BPF sebelum ini tidak pernah berputus atas dan masih meneruskan aktiviti pengilangan produk berkenaan berikutan menyedari keuntungan tinggi diperoleh.

Jurucakap BPF memaklumkan, kebanyakan produk seperti, kopi Hari-Hari Mau, kopi panggung AL-Ambiak, kopi Jantan Tradisional, produk Double Coconut dan gula-gula Soloco pernah dirampas secara besar-besaran sejak lima tahun lalu.

“Sebagai contoh produk Kopi Hari-Hari Mau pernah dirampas BPF dalam serbuan di kilangnya di Gombak, Selangor pada 2014.

“Malah mesin pengisar dan alatan lain di dalam kilang produk itu turut dirampas susulan serbuan membabitkan jumlah nilai lebih RM100,000 itu,” katanya.

Menurutnya, jenama produk rangsangan seks haram ini sudah dikenali dan mempunyai ‘pengikutnya’ sendiri.

“Walaupun dijual pada harga mahal, masih ramai pelanggan yang membelinya kerana terpengaruh dengan dakwaan ia mampu meningkatkan daya rangsangan seks.

“Malah sindiket dipercayai memindahkan operasi ke kilang rahsia lain bagi memastikan BPF gagal mengesan operasi dijalankan,” katanya.

Selain itu, sindiket kini lebih aktif melakukan urusan jualan melalui dalam talian atau laman sosial selain meletakkan produk di toko jamu atau ubat-ubatan tradisional.

“Pesakit jantung adalah golongan paling berisiko tinggi apabila mengambil produk perangsang seks tanpa nasihat daripada doktor susulan produk ini mengandungi taladafil, sildenafil dan pelbagai kimia lain tidak diketahui.

“Hubungan seks memerlukan tenaga dan stamina kuat. Pengambilan ubat perangsang seks tanpa mengambil kira latar belakang status kesihatan dan tahap stamina boleh menyebabkan kematian mengejut.

“Ini kesan kombinasi ubat perangsang seks dengan bahan nitrat yang terdapat dalam ubat rawatan jantung boleh menyebabkan pengembangan saluran darah secara berlebihan dan seterusnya mengakibatkan kematian mengejut akibat tekanan darah terlalu rendah,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan ubat perangsang seks tanpa nasihat doktor adalah berbahaya kerana kesesuaian dos ubat perangsang seks tidak sama mengikut peringkat umur.

“Dos yang berlebihan boleh mengakibatkan tekanan darah rendah, sakit dada, berdebar-debar dan ereksi berpanjangan yang tidak surut dan pelbagai kesan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 1:07 AM