Putrajaya: Pelantikan pegawai penguat kuasa yang dibuat secara berterusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dijangka dapat menjamin penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, langkah itu sejajar dengan keperluan semasa yang memerlukan tenaga kerja lebih bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Pada masa sama, ia juga hasrat saya untuk memastikan perjawatan di KPDNKK diisi dengan semaksimum mungkin.

“Ia bagi memastikan pelaksanaan GST melalui akta itu dapat dilaksanakan secara optimum dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Penguatkuasa, Pegawai dan Penolong Pegawai Penguatkuasa Lantikan Baru di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad.

Seramai 19 pegawai penguat kuasa menerima watikah pelantikan dan mereka dinaikkan pangkat ke Gred N54, N52 dan N48 manakala, 57 pegawai dan penolong pegawai penguat kuasa lantikan baru dan juga peningkatan secara lantikan ke Gred N41 dan N27.

Dalam pada itu, Hasan berkata, kemasukan tenaga kerja baru itu diyakini dapat memenuhi tanggapan tinggi kerajaan dan masyarakat khususnya terhadap anggota penguat kuasa selaku nadi dalam memastikan perdagangan dalam negeri dikawal selia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 8:07 AM