SOKONGAN dan bantuan guru membantu pelajar memilih kursus pengajian yang bersesuaian.  - Gambar hiasan
SOKONGAN dan bantuan guru membantu pelajar memilih kursus pengajian yang bersesuaian. - Gambar hiasan
GEMBIRA apabila tamat pengajian dengan cemerlang. - Gambar hiasan
GEMBIRA apabila tamat pengajian dengan cemerlang. - Gambar hiasan
SOKONGAN ibu bapa membantu pelajar memperoleh kejayaan. - Gambar hiasan
SOKONGAN ibu bapa membantu pelajar memperoleh kejayaan. - Gambar hiasan
Fazurawati Che Lah


Melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) sememangnya dambaan setiap pelajar demi menggapai kerjaya impian suatu masa kelak.

Bagaimanapun, pemilihan program pengajian yang bersesuaian dengan kelayakan dan minat penting demi memastikan permohonan memasuki IPT berjaya.

Masalah pemilihan bidang pengajian memang menjadi satu perkara yang memeningkan kerana pencapaian akademik menjadi fokus utama dan penentu kelayakan pelajar untuk mengikuti program ditawarkan.

Jika mendapat keputusan baik atau cemerlang seperti yang diharapkan, tidak mustahil bagi pelajar memilih kursus pengajian kompetitif diidamkan.

Namun, jika keputusan sebaliknya maka pilihan kursus pengajian perlu sesuai dengan pencapaian kerana persaingan memasuki universiti awam (UA) khususnya kini semakin sengit terutama dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, perakaunan dan kejuruteraan.

Pemilihan program yang sesuai bakal menentukan hala tuju kerjaya pelajar lepasan sekolah atau Matrikulasi, Asasi dan setaraf apabila tamat pengajian kelak.

Strategi perlu dirangka dengan bijak bagi mengelak mereka ‘berputih mata’ apabila gagal mendapat akses ke pendidikan tinggi.

Berkongsi pandangan mengenai pemilihan program di IPT, Yang Menjalankan Tugas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata kecenderungan minat perlu diutamakan pelajar dalam pemilihan kursus.

Katanya, kelayakan dan kemahiran juga perlu berpadanan dengan minat bagi membolehkan seseorang pelajar itu memilih kursus yang diimpikan.

“Kehendak pasaran adalah baik tetapi pasaran boleh berubah. Adalah lebih baik seseorang pelajar itu melengkapkan diri dengan keupayaan menyesuaikan diri supaya boleh berjaya walau apa pun keadaan pasaran atau ekonomi.

“Tidak semua orang boleh mengikuti cita-cita dari kecil. Lagipun, cita-cita boleh berubah dengan peredaran zaman.

“Hal ini kerana satu pertiga pekerjaan pada hari ini akan digantikan dengan pekerjaan lain dalam masa 20 tahun akan datang,” katanya.

Oleh itu, katanya, kebolehupayaan menyesuaikan diri akan menjadi lebih penting apabila peralihan kerjaya berlaku.

Awang Bulgiba berkata, pemilihan program pengajian di IPT ini antara keputusan penting dalam kehidupan dan perlu disesuaikan dengan kemampuan, minat dan perawakan pelajar kerana perkara itu penentu masa depan kerjaya mereka.

Katanya, sebelum ini ada pelajar yang tidak berpeluang meneruskan pengajian pada peringkat diploma kerana subjek yang diambil ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melayakkannya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri pula berkata pemilihan jurusan oleh pelajar lepasan sekolah atau matrikulasi tidak seharusnya dipengaruhi orang atau rakan.

“Biar apa pun jurusan yang diambil dan jenis pekerjaan bakal menanti, semuanya bergantung kepada motivasi dan keyakinan dalaman pelajar itu sendiri.

“Dalam erti kata lain, dalam usaha seseorang pelajar untuk berjaya, aspek terpenting adalah sejauh mana kehendak pelajar untuk berusaha sehabis baik dalam mengharungi cabaran yang bakal ditempuh,” katanya.

Jelas beliau, setiap jurusan di IPT mempunyai cabaran yang tersendiri kerana ia juga bakal ‘mempersiapkan’ pelajar untuk menghadapi dunia kerjaya kelak.

“Tiada istilah jurusan yang ‘mudah’ atau ‘sukar’, yang tinggal hanyalah kemahuan pelajar mengharungi cabaran dan merebut peluang yang tersedia selama bergelar seorang mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

“Usaha gigih ini bakal membentuk diri menjadi ahli yang berfungsi dengan baik di dalam masyarakat, mahu pun kerjaya, pada masa hadapan,” katanya.

Tip pemilihan kursus pengajian

1.Kenali KELAYAKAN diri

Bakal pelajar perlu tahu tahap kelulusan yang dicapai semasa peringkat SPM memenuhi kepada syarat minimum kelayakan masuk sesuatu program sebelum membuat permohonan supaya anda tidak membuang masa dan berharap kepada sesuatu permohonan yang anda sudah tahu akan gagal.

2.Kenali MINAT

Sekurang-kurangnya tanyalah diri sendiri arah tujuan dalam pendidikan sama ada bidang Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Bisnes, Sains, Teknikal atau Hospitaliti.

Kebanyakan pelajar gagal dalam pengajian adalah kerana mereka tidak meminati kursus yang diambil.

3.Kenali KEMAMPUAN anda

Buat sedikit kajian tentang kursus yang bakal anda ambil dan banding bezakan dengan kemampuan yang ada pada diri anda bagi menentukan anda mampu mengharungi cabaran program sehingga tamat.

4.Dapatkan pandangan PAKAR

Perlu dalam memberi pendapat mengenai kursus yang bakal diambil atau sekurang-kurangnya berbincanglah dengan ibu bapa, keluarga dan guru. Pendapat mereka mampu membantu anda dalam memilih kursus terbaik.

5.Pastikan LOKASI IPT yang dipilih sesuai dengan JIWA

Ada segelintir pelajar yang tidak gemar berjauhan dari keluarga. Pilihlah IPT yang lokasi jaraknya bersesuaian dengan jiwa dan tahap ketahanan mental anda dalam menghadapi ‘homesick’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 4:23 PM