PASUKAN POLISAS meraikan kemenangan mereka muncul sebagai juara dan naib juara.
PASUKAN POLISAS meraikan kemenangan mereka muncul sebagai juara dan naib juara.
Mohd Rafi Mamat

Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan muncul juara kategori ‘Map Creative’ dan naib johan kategori ‘Inovative System’ dalam pertandingan National Geomatic/Geoinformatic Student Innovation Competition (NGGSIC) di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Pertandingan dua hari itu anjuran Royal Institution of Surveyor Malaysia (RISM) serta institut pendidikan tinggi awam dan Politeknik Malaysia dengan kerjasama UiTM Shah Alam membabitkan penyertaan pelajar universiti dan politeknik seluruh negara.

Projek bertajuk pemetaan penyakit Hepatitis C di Malaysia menobatkan POLISAS selaku juara ‘Map Creative. Projek sistem pengurusan kebajikan dan disiplin pelajar Luar (POLISAS) muncul naib johan kategori Inovative System.

Majlis penutup dilakukan Pengerusi Geomatics and Land Surveying Division (GLS) of The Royal Institution of Surveyor Malaysia Datuk Seri Mohd Noor Isa.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam POLISAS Radziah Hashim berkata, pertandingan menjadi platform kepada pelajar dan pensyarah menyalurkan idea serta kreativiti masing-masing.

Katanya, pertandingan itu memberi kesan positif kepada pelajar dan pensyarah kerana dapat bersaing secara sihat bagi membuktikan kebolehan menghasilkan peta dan sistem inovasi.

Katanya, program itu mendedahkan kepada pelajar cara penyediaan data dan perisian bagi menghasilkan peta yang kreatif dan memenuhi ciri-ciri pemetaan.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian pelajar POLISAS yang berjaya membawa pulang hadiah tempat pertama dan kedua, kerjasama antara pelajar serta pensyarah berjaya mencetuskan kemenangan ini.

“Kejayaan itu meletakkan POLISAS sebaris dengan beberapa pusat pengajian tinggi awam di negara ini yang terkenal dalam bidang teknologi geomatik,” katanya.

Beliau berkata, rekod pencapaian POLISAS pada pertandingan NGGSIC sebelum ini dianggap memuaskan apabila berjaya mencatat kejayaan dalam setiap kategori diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:16 AM