KERJA-kerja pemeriksaan bumbung bangunan dilakukan bagi mengenal pasti punca kebocoran atau resapan air ke dalam bangunan.
KERJA-kerja pemeriksaan bumbung bangunan dilakukan bagi mengenal pasti punca kebocoran atau resapan air ke dalam bangunan.
Suliati Asri

PROFESION juruukur bangunan tidaklah sepopular arkitek yang melakar, melukis dan mencipta idea artistik untuk pembinaan sesuatu bangunan.

Namun, peranan juruukur bangunan ini sebenarnya sangat penting dalam pembinaan sesebuah bangunan tidak kira hanya sebuah rumah atau setinggi-tinggi bangunan pencakar langit.

Seorang juruukur bangunan adalah mereka yang membantu memastikan proses reka bentuk sesebuah bangunan itu menepati standard perundangan sedia ada dan fungsi bangunan.

Mereka juga adalah individu yang memantau proses pembinaan berjalan seperti yang dirancang dan berpandukan kepada spesifikasi yang sudah dipersetujui.

Selain berinteraksi dengan profesional lain seperti arkitek, jurutera dan pembina, untuk memastikan bangunan dibina mengikut peraturan bangunan, mereka juga mendiagnosis pelbagai isu mengenai bangunan termasuk masalah berkaitan isu reka bentuk, teknik pembinaan dan masalah bahan pembinaan.

Dengan peranan penting juruukur bangunan itu, adalah tidak keterlaluan andai mereka ini digelar sebagai 'doktor bangunan.'

Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perak Dr Irwan Mohammad Ali berkata, tidak hanya sesuai digelar 'doktor bangunan,' juruukur ini juga sebenarnya tonggak pengurusan aset dan fasiliti negara.

JURUUKUR bangunan sedang merekod senarai kerosakan bangunan menggunakan aplikasi terkini yang dibangunkan oleh JKR.
JURUUKUR bangunan sedang merekod senarai kerosakan bangunan menggunakan aplikasi terkini yang dibangunkan oleh JKR.

Menurutnya, dalam bidang alam bina, juruukur bangunan boleh diumpamakan sebagai 'doktor' kepada bangunan. Secara mudahnya, ini adalah gambaran dan penjelasan mengenai kepentingan profesion ukur bangunan di dalam industri pembinaan dan pengurusan bangunan.

"Juruukur bangunan adalah profesion yang sudah bertapak lama dalam industri alam bina di negara ini. Terdapat laporan yang mendedahkan bahawa profesion ini wujud ketika penjajahan British di Tanah Melayu lagi.

"Ketika itu, khidmat juruukur bangunan sangat diperlukan untuk bekerjasama dengan profesion lain seperti arkitek, jurutera dan tenaga teknikal lainnya.

"Sehingga kini, profesion juruukur bangunan berkembang pesat dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pengurusan aset serta fasiliti negara," katanya.

Dr Irwan berkata, juruukur bangunan yang kompeten adalah individu yang mampu mengurus, mengatur, memantau dan menilai serta menyelaraskan kerja bangunan dengan baik. Mereka juga perlu bijak dalam berkomunikasi dengan profesion lain.

"Seorang juruukur bangunan akan membantu memastikan proses reka bentuk sesebuah bangunan itu menepati standard perundangan sedia ada, fungsi bangunan dan pemantauan proses pembinaan berjalan seperti yang dirancang dan berpandukan kepada spesifikasi yang dipersetujui.

METER Kelembapan (moisture meter) adalah alat yang digunakan untuk mengesan kandungan kelembapan dipermukaan dinding.
METER Kelembapan (moisture meter) adalah alat yang digunakan untuk mengesan kandungan kelembapan dipermukaan dinding.

"Selain itu, mereka juga berperanan dalam memastikan jangka hayat dan fasa penghunian sesuatu bangunan sentiasa berada dalam keadaan selamat, terurus dan diselenggara mengikut jadual dengan baik," katanya.

Kata Dr Irwan, seorang juruukur bangunan dilatih untuk mempunyai sensitiviti yang tinggi mengenai prestasi sesebuah bangunan di setiap peringkat pembinaan dan pengurusan sesebuah bangunan."

"UiTM antara institusi pengajian tinggi awam yang menyahut cabaran untuk melahirkan seramai mungkin juruukur bangunan selari dengan agenda pembangunan dan pengurusan fasiliti negara."

"Untuk merealisasikan matlamat terbabit, program pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda ukur bangunan ditawarkan di UiTM cawangan Selangor dan cawangan Perak.

"Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, ramai 'doktor bangunan' yang sudah dilahirkan dan berkhidmat dalam pelbagai sektor," katanya.

Bukan itu saja, dalam memastikan kualiti graduan bidang ukur bangunan yang dihasilkan berkualiti dan memenuhi kehendak industri, pensyarah mestilah terdiri daripada kalangan ahli akademik yang berpengalaman luas dan berkemahiran.

Dr Irwan berkata, ramai beranggapan menjadi ahli akademik atau pensyarah hanyalah berlatarkan bilik kuliah dan makmal.

Namun, sebaliknya pensyarah perlu bergiat aktif dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penulisan, perundingan yang berkaitan dengan bidang yang diajar.

"Bagi program jurukur bangunan di UiTM, pensyarah di Jabatan Alam Bina dan Teknologi, Pusat Pengajian Ukur Bangunan bergiat aktif dalam aktiviti penyelidikan dan perundingan.

"Mereka bukan sahaja terbabit dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Malah, turut terbabit dengan banyak aktiviti perundingan dan penyelidikan di pelbagai peringkat dalam bidang pengurusan fasiliti.

"Kesinambungan itu bertujuan memastikan ilmu dan kemahiran yang dikongsi bersama pelajar dalam bilik kuliah adalah berdasarkan realiti sebenar alam pekerjaan profesion juruukur bangunan. Hasilnya, graduan yang dihasilkan mampu bersaing dan menyerlah di dalam industri berkaitan," katanya.

Memegang jawatan sebagai jurubangunan di Unit Perundingan Pengurusan Fasiliti, Bahagian Pengurusan Aset Kerajaan, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Malaysia, Norashikin Akhiar @ Khairuddin adalah antara alumni UiTM yang menceburi bidang ukur bangunan.

JURUUKUR bangunan sedang memeriksa kekuatan konkrit menggunakan Ultra pulse velocity (UPV)
JURUUKUR bangunan sedang memeriksa kekuatan konkrit menggunakan Ultra pulse velocity (UPV)

Berkongsi pengalaman ketika mendaftar sebagai pelajar ukur bangunan, kata Norashikin, dia tidak pernah mendengar atau diberikan pendedahan berkenaan kursus dan profesion ukur bangunan semasa di zaman persekolahan.

Namun, disebabkan dia mengikuti aliran teknik dalam bidang kejuruteraan awam, maka program ukur bangunan adalah pilihan terbaik yang ada bagi mengelakkan program kejuruteraan awam tulen ketika mengisi borang UPU.

"Bidang ukur bahan biasa didengar di sekolah aliran teknik, tetapi tidak bagi bidang ukur bangunan. Dalam ketidakpastian, saya tetap menyahut cabaran untuk lebih mendalami dan mempelajari sesuatu yang baharu.

"Alhamdulillah, hari ini bidang ukur bangunan semakin dikenali dan tidak asing dalam industri pembinaan dan kejuruteraan.

"Kebolehpasaran graduan ukur bangunan dalam sektor berkaitan semakin meningkat kerana kebanyakan majikan kini sedia maklum bahawa program ukur bangunan dirangka secara holistik bagi memenuhi kehendak industri," katanya.

"Saya berharap bidang ini akan terus berkembang ke arah mendapatkan akta yang bersesuaian dengan profesion ukur bangunan seperti profesion alam bina yang lain.

"Pensyarah juga antara tulang belakang yang sentiasa memastikan graduan menepati keperluan semasa industri. Mereka juga sentiasa mengambil inisiatif berterusan menjalinkan hubungan berterusan dengan alumni bagi memastikan pelajar ukur bangunan sentiasa mempunyai pengetahuan dan pengalaman pembelajaran seiring dengan perubahan semasa," tambahnya.

Sementara itu, Koordinator Program Ukur Bangunan UiTM Perak Dr Alia Abdullah Saleh berkata, program yang ditawarkan ini diiktiraf sepenuhnya agensi-agensi profesional.

Antara pengiktirafan yang diterima adalah daripada Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Royal Institution of Chartered Surveyors of UK (RICS), United Kingdom.

"Program ini memberi tumpuan kepada aspek kitaran hayat bangunan, kawalan bangunan, penilaian prestasi bangunan, pengurusan penyelenggaraan dan pemuliharaan bangunan.

"Selain itu, program ini juga merangkumi aspek pengawalan rekabentuk, pengurusan aset menyeluruh, teknologi pembinaan dan amalan penyelenggaraan baik berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan.

"Antara prospek kerjaya lepasan Diploma Ukur Bangunan antaranya ialah pembantu pegawai fasiliti bangunan, pembantu perunding ukur bangunan, kontraktor dan penyelia tapak binaan, manakala lepasan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bangunan pula antaranya ialah pengurus fasiliti bangunan, pengurus bangunan, pengurus penyelenggaraan dan pemuliharaan bangunan dan seterusnya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah.

"Secara umumnya, bidang pengajian ini mendapat peluang yang sangat baik di pihak berkuasa tempatan, syarikat pemaju perumahan dan bangunan komersial, syarikat insurans, institusi perbankan dan kewangan, firma perundingan dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 7:00 AM