ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran.
Ardyhansah Amat dan Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: “Saya ternampak api dari belakang kerusi sebelum helikopter hilang kawalan dan terhempas,” kata Fatin Nadeera Mohammad Jeffrey, juruterbang pelatih dalam kejadian helikopter terhempas di kawasan hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.55 pagi itu, Fatin yang luka kecil di kaki kanan dikejarkan ke Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) menggunakan kenderaan Akademi Helikopter Layang-Layang Sdn Bhd.

Fatin, 21, berkata, ketika terhempas, dia buntu seketika sebelum merangkak keluar dari helikopter bagi menyelamatkan diri.

“Memang ketika kejadian, saya terkejut dan buntu selama beberapa saat, sebelum mengumpul kekuatan untuk menyelamatkan diri.

“Mujur saya hanya luka kecil di kaki kanan tanpa membabitkan sebarang kecederaan serius,” katanya ketika ditemui, semalam.

Fatin berkata, dia perlu menghabiskan modul latihan penerbangan solo selama 150 jam bagi membolehkannya memperoleh lesen berkenaan.

“Hari ini (semalam) latihan penerbangan yang ke-30 jam. Seperti biasa, saya perlu menerbangkan helikopter dari hangar Layang-Layang Aerospace di Terminal Dua ke Terminal Satu.

“Dari situ, saya menunggu kebenaran untuk berlepas dan melakukan penerbangan di kawasan perairan berhampiran. Bagaimanapun, tiba-tiba saya melihat api pada bahagian belakang tempat duduk, sebelum helikopter hilang kawalan dan terhempas,” katanya.

Sementara itu, ibu Fatin, Datin Aishah Otit, 57, bersyukur kerana anaknya selamat.

“Fatin seorang yang kuat dan kemalangan ini tidak akan mematahkan semangatnya untuk memperoleh lesen helikopter.

“Apatah lagi, sebelum ini, Fatin sudah memperoleh lesen kapal terbang dan kini dalam proses memperoleh lesen helikopter,” katanya.

Aishah berkata, anaknya dilaporkan stabil namun masih di bawah pemerhatian doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 9:53 AM